Pilih Bahasa

Industri automotif sesuai dibangunkan di Sabah

SEMPORNA: Sabah mampu menjana ekonomi dan mengatasi pengangguran melalui industri automotif serta elektronik.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata Sabah mempunyai kawasan luas bagi membangunkan kawasan perindustrian.

Jaujan bersama warga SMK Semporna dalam program Melangkah Ke Menara Gading. Gambar SNT/Ihsan KKTP

Beliau berkata pembinaan pusat pemasangan kereta Proton di Sabah yang dicadangkan oleh kerajaan negeri mampu memberi peluang pekerjaan kepada individu berkemahiran khususnya graduan dalam negeri ini.

“Oleh itu, saya ingin menyeru kepada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke universiti awam atau swasta agar bijak dalam memilih kursus yang memiliki kebolehpasaran selepas tamat pembelajaran kelak.

“Sabah dan Indonesia adalah antara yang memiliki permintaan tinggi dari segi pengeluaran kenderaan pacuan empat roda. Jika ada pusat pemasangannya di Sabah, khususnya dari Proton sendiri, maka permintaan kenderaan akan bertambah dan peluang pekerjaan makin banyak dari segi industri automatif.

“Pelajar dari universiti perkhidmatan awam atau swasta bukan hanya perlu bijak dari segi akademik namun juga perlu ada kemahiran kerana kedua-duanya akan digunakan ketika bekerja nanti,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Progam Melangkah Ke Menara Gading Pelajar Sekolah Menengah Semporna, di sini kelmarin.

Beliau menyeru agar semua mahasiswa tidak hanya mengharapkan peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam semata-mata selepas tamat pengajian.

Jaujan menyempurnakan program Melangkah Ke Menara Gading SMK daerah Semporna. Gambar SNT/Ihsan KKTP

“Jangan masuk universiti untuk dapat ijazah sahaja dan keluar tidak ada kerja. Kaji dulu bidang yang sesuai dan mempunyai permintaan yang banyak di luar,” katanya.

Sebelum itu, ketika dalam ucapannya, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, hari ini kerajaan juga sedang mencari pakar dalam bidang matematik khususnya dalam bidang kewangan.

Katanya, para graduan juga diingatkan agar selepas tamat pengajian nanti tidak sesekali bergantung kepada ibu bapa memandangkan pelajar sudah ditanggung sepenuhnya dalam pendidikan lebih 20 tahun sejak bermula dari tadika.

“Pendidikan harus dikuasai semua, universiti hanya membekalkan kemahiran akademik, tetapi jangan sesekali mengabaikan kemahiran yang ada dalam diri sendiri.

“Kelemahan dalam kemahiran mengakibatkan ramai dalam kalangan graduan kini menganggur. Kelebihan dalam kemahiran kini menjadi keutamaan badan-badan kerajaan dan swasta,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 224 pelajar dari lima buah sekolah menengah sekitar daerah Semporna menerima sumbangan.-SabahNewsToday