Pilih Bahasa

Industri Gamat dikenalpasti untuk Pulau Gaya

KOTA KINABALU: Pulau Gaya dikenalpasti sebagai lokasi bagi mewujudkan industri gamat.

Pengumuman ini dibuat susulan lawatan Datuk Junz Wong ke Pulau Gaya pada Jumaat.

Junz menunjukkan Timun Laut atau Sea Cucumber atau lebih dikenali sebagai gamat semasa lawatan ke Pulau Gaya. Gambar SNT/Ihsan MAFI

Ketika ditemui wartawan, Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu berkata “lawatan kerja ke Pulau Gaya bersama pegawai-pegawai Jabatan Perikanan adalah untuk mengenal pasti beberapa lokasi sesuai untuk tujuan mewujudkan industri gamat.”

Katanya terdapat potensi besar yang boleh diterokai demi manfaat pelbagai lapisan masyarakat Sabah.

“Fikirkan ini. Selain pengusaha gamat yang boleh menerima hasil melalui penjualan gamat, anak-anak tempatan yang terlibat dalam industri pelancongan akan menerima manfaat melalui kewujudan kepelbagaian lokasi penarikan pelancongan.

“Jangan lupa gamat turut menyumbang kepada usaha-usaha memulih ekosistem lautan. Gamat akan memainkan peranan penting dalam mewujudkan ekosistem marin yang lebih mampan.”

Tambah beliau, pengwujudan pusat penetasan gamat ini merupakan sebahagian daripada rancangan menyeluruh yang bakal dilaksanakan melalui Pelan Pembangunan Pertanian Sabah 2021 – 2030.

“Inisiatif seperti pusat penetasan gamat ini sebenarnya sebahagian daripada pelan yang bakal dilaksanakan melalui Pelan Pembangunan Pertanian Sabah 2021 – 2030.”

“Jika anda mengikuti perkembangan Kementerian saya, anda akan mendapati bahawa pusat penetasan gamat ini, pusat penetasan ketam nipah dan pusat penetasan benih ikan di Sandakan, pusat pengumpulan sarang burung walit di Kimanis, pusat pengumpulan buah-buahan di Beaufort semuanya usaha yang berbeza oleh pihak yang berbeza.

“Namun, mereka memainkan peranan masing-masing dan saling melengkapkan masing-masing dalam usaha mengangkat ekonomi Sabah secara lebih menyeluruh,” katanya.-SabahNewsToday