Pilih Bahasa

Industri homestay di Sabah catat pendapatan lebih RM6 juta

Gambar Bernama

KIMANIS, 12 Jan — Industri inap desa atau ‘homestay’ di Sabah, mencatatkan perkembangan positif dan antara yang menghasilkan pendapatan tertinggi di Malaysia dengan kutipan lebih RM6 juta pada tahun lepas, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Katanya daripada jumlah itu, Homestay Seri Serbang yang terletak di Bongawan mencatat pendapatan RM2,0267,612 dengan 68,269 penginap, termasuk dari luar negara.

“Di Sabah sahaja, terdapat 51 kampung mempunyai homestay dengan Papar dan Beaufort sebagai kawasan terbesar terlibat homestay,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Cuti-Cuti Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020), di Sekolah Menengah Kebangsaan Bongawan II dekat sini, malam tadi.

Mohamaddin berkata kerajaan komited untuk menyamaratakan limpahan ekonomi, bukan sahaja dirasai di bandar raya Kota Kinabalu, namun sehingga ke kawasan luar bandar di negeri ini.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata kerajaan akan menumpukan kerjasama pintar antara kerajaan negeri Sabah dan sektor swasta, dengan harapan usaha sama itu dapat merancakkan pembangunan industri pelancongan setempat seperti di kawasan Parlimen Kimanis.

“Melalui kempen VM2020, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah, bersama-sama akan mengangkat pelancongan negeri Sabah.

“Kita mempunyai alam semula jadi yang pelbagai, pantai, pulau serta laut yang cantik dan lebih penting lagi, kemesraan warga tempatan yang tiada tolok bandingnya, menjadikan Sabah begitu istimewa,” katanya.

Mohamaddin berkata bagi tempoh Januari hingga September tahun lepas, sektor pelancongan negeri ini memberi pulangan baik, apabila menerima lebih tiga juta pelancong termasuk dari luar negara.

“Sabah antara negeri ketiga penyumbang kerancakan sektor pelancongan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Jelajah VM2020, mampu merancakkan lagi sektor pelancongan dalam negeri, sekali gus meningkatkan jumlah perbelanjaan per kapita pelancong.

Sementara itu, Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Ahmad Shah Hussein Tambakau berkata penganjuran jelajah VM2020 di Bongawan yang pertama kali dilaksana di luar dari Kota Kinabalu, menunjukkan kerajaan Persekutuan dan negeri komited memacu sektor pelancongan di pantai barat Sabah.

Kawasan Bongawan, beliau berkata terletak di laluan pesisir pantai barat yang berpotensi sebagai tempat pelancongan, selain terdapat produk ekopelancongan yang menjadi tarikan antaranya untuk melihat kelip-kelip.

— BERNAMA