Pilih Bahasa

Industri kopi Tenom berpotensi sebagai sumber kekayaan baharu — Mazlan

Gambar Bernama

TENOM, 13 Sept — Industri kopi Tenom sangat berpotensi sebagai sumber kekayaan baharu jika ia diperkasakan sebagai industri asas tani, kata Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mazlan Aliman.

Justeru beliau menyarankan agar peluang keemasan itu perlu diceburi khususnya Pertubuhan Peladang (PPK) Tenom.

“Sebab itu saya mencadangkan kepada PPK Tenom agar menjadikan produk kopi Tenom ini sebagai perniagaan utama,”

“Saya berharap penglibatan PPK Tenom dalam industri kopi akan mendapat sokongan daripada pihak Kementerian, Jabatan dan Agensi dalam membantu pertubuhan itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Pejabat PPK Tenom di sini, hari ini.

Bangunan berharga RM2.6 juta itu dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Mazlan berkata kopi Tenom menjadi tarikan utama pelancong sehingga menjadi punca pendapatan masyarakat di daerah itu.

Beliau mahu PPK Tenom serta ahli-ahlinya agar merebut peluang itu pada ketika produk kopi Tenom mendapat permintaan tinggi bukan sahaja dalam negara tetapi pengguna antarabangsa.

Mazlan meminta pertubuhan itu supaya sentiasa terus memperkasa sektor agromakanan dan memperkasa sosioekonomi masyarakat peladang di daerah itu.

Mengenai bangunan baharu PPK Tenom itu, Mazlan berkata ia mula dibina pada 1 Ogos 2016 dan siap sepenuhnya pada 31 Mac tahun lepas yang mengandungi ruang pentadbiran, perniagaan dengan keluasan 0.18 hektar.

Mazlan berkata bangunan berkonsepkan identiti suku kaum Murut dan yang pertama seumpamanya di negeri Sabah itu mengandungi lot gerai yang boleh memberikan peluang kepada usahawan PPK untuk memasarkan produk mereka.

Sementara itu Ahli Parlimen Tenom Noorita Sual berkata, pertanian kini merupakan satu perniagaan dan bukan lagi sekadar pekerajaan bertaraf kampung.

Justeru beliau mengajak rakyat di daerah Tenom supaya bersedia untuk mengubah haluan dengan menjadikan pertanian sebagai sumber kekayaan yang baharu.

— BERNAMA