Pilih Bahasa

Industri lebah dan madu kelulut perlu badan memantau

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Ketiadaan badan atau pusat yang bertanggungjawab dalam memantau pembangunan pemeliharaan lebah kelulut menjadi cabaran utama dalam industri lebah madu ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia termasuklah masalah pembiakan, pengeluaran madu yang kurang, pengawalan kualiti serta harga tinggi dan ketiadaan standard madu Malaysia.

Madius menandatangan plak program sebagai gimik perasmian. Gambar SNT/Alfred Petrus

Dalam pada itu, katanya kerajaan sedang mencari jalan untuk membangunkan industri lebah kelulut sekali gus sektor pertanian melalui pemodenan dan pengkomersialan industri serta rantaian bekalan dan nilai keseluruhan.

“Permintaan terhadap madu dan produk sampingan serta perkhidmatan lain daripada aktiviti pemeliharaan lebah kelulut akan diterokai dan dihubungkan kepada konsep pengurusan rantaian bekalan.

“Madu lebah kelulut disenaraikan sebagai makanan tambahan Malaysia oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

“Permintaan produk ini juga meningkat kerana orang lebih mengetahui manfaatnya,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan dan Bengkel Lebah Kelulut Antarabangsa, di Hotel Tabung Haji, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Selain itu, Mohd Shafie turut menyatakan bahawa negara memerlukan sumber pendapatan alternatif baharu untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Jelasnya salah satu projek yang berpotensi dalam bidang pertanian adalah pertanian lebah Kelulut.

“Ladang lebah Kelulut yang diperkenalkan pada 2004 oleh Mardi menyediakan alternatif spesies baharu yang bebas daripada penyakit dan memerlukan amalan pengurusan ladang sederhana di mana para pengusaha boleh mengendalikan projek itu sebagai kerja sambilan.

“Sejak itu, pertumbuhan dalam industri telah menjanjikan banyak peminat tempatan dan antarabangsa.

“Tambahan lagi, pertanian lebah kelulut adalah penting untuk pemuliharaan dan kemapanan ekosistem kerana ia menawarkan pendebungaan semula jadi, keselamatan makanan masa depan, generasi berpendapatan tinggi, produk perubatan dan peluang penyelidikan,” katanya. -SabahNewsToday