Pilih Bahasa

Industri perhotelan jana perkembangan ekonomi negeri

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Mohd Shafie (tengah) mengendalikan jentolak selaku gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Hyatt Centric di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/Ihsan JKM

KOTA KINABALU: Pembinaan lebih banyak hotel baharu di bandar raya ini mampu meningkatkan ekonomi negeri khususnya industri pelancongan serta sektor perkhidmatan hospitaliti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri sentiasa menerima baik dan terbuka dalam semua usaha memajukan negeri dalam pelbagai sektor.

Mohd Shafie berkata menerusi pertambahan hotel, ia dilihat salah satu inisiatif bagi menampung keperluan industri pelancongan yang kian membangun di negeri berkenaan.

“Kita sedar hotel sedia ada di negeri ini terutamanya sekitar bandar raya masih belum mampu menampung jumlah pengunjung atau pelancong asing yang berkunjung ke sini.

“Sabah adalah salah sebuah negeri yang popular dan sering menjadi pilihan pelancong sebagai destinasi percutian. Rugi sekiranya kita tidak mengambil dan menjaga peluang ini sebaik mungkin kerana ia secara tidak langsung boleh mengukuhkan lagi bidang pelancongan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Hyatt Centric Kota Kinabalu, dekat sini hari ini.

Projek pembinaan hotel terbabit akan dilaksanakan syarikat Hap Seng Consolidated Berhad dengan anggaran kos lebih RM270 juta.

Dijangka siap sepenuh pada tahun 2021, Hyatt Centric Kota Kinabalu terdiri daripada 22 tingkat dan memiliki kira-kira 220 buah bilik.

Turut hadir Pengerusi Hap Seng Consolidated Berhad, Datuk Jorgen Bornhoft dan Naib Presiden Kanan (Operasi) Hyatt Asia Pasifik, Tom Smith.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata pembukaan hotel baharu juga dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat terutamanya bagi generasi muda.

“Selain itu, ia turut memberi ruang perniagaan kepada petani dan penternak tempatan untuk memasarkan hasil masing-masing kepada pihak hotel.

“Saya lebih suka sekiranya hotel di sekitar bandar raya dan seluruh negeri bekerjasama dengan pengusaha bidang pengeluaran makanan tempatan berbanding pihak luar kerana keuntungan boleh perolehi oleh kedua-dua pihak tanpa memerlukan aliran wang keluar ke luar negara,” katanya. – SabahNewsToday