Pilih Bahasa

INFRASTRUKTUR SURAU DAN MASJID PERLU DIPERKASAKAN

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Rendy (dua dari kanan) bersama pengerusi Masjid Kampung Tambun, Ismail Amit (dua dari kiri) dan Pegawai Penyelaras Masjid, Ustaz Azalan (kanan). – Gambar SNT / Ehsan AMANAH Sabah


KOTA MARUDU: Agensi agama di daerah ini memerlukan ditransformasi agar mereka dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat khususnya umat Islam di kawasan itu.

Ketua Penyelaras Parti Amanah Negara (AMANAH) Kota Marudu, Rendy Ismail menggesa agar transformasi dilakukan untuk memperkasakan pengurusan dan infrastruktur agensi agama yang ada dalam daerah ini.

Keadaan dalam Masjid Kampung Tingkalanon yang memerlukan pembaikan segera bagi keselesaan jemaah. – Gambar SNT / Ehsan AMANAH Sabah

“Kita mahu agensi agama sebagai agensi yang cemerlang, dapat menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat terutama daripada aspek pembangunan fizikal yang kondusif kepada rakyat sebagai keutamaan.

“Seterusnya infrastruktur surau dan masjid juga perlu dinaiktaraf. AMANAH Kota Marudu bersama Pegawai Penyelaras Masjid JHEAINS, Ustaz Azalan telah mengunjungi 10 surau dan masjid yang sangat daif.

“Antara yang perlu diberikan perhatian ialah dua buah surau di Kampung Tondig dan Tingkalanon serta Masjid Ar Rahmah Kampung Taiwan. Malah, ada yang hampir roboh sedangkan kawasan tersebut dihuni ramai penduduk beragama Islam,” katanya.

Rendy berkata pihaknya akan melakukan tindakan susulan agar keperluan masyarakat Islam di daerah ini dapat dibela.

Sehubungan itu katanya, AMANAH Sabah memohon semua pihak khususnya kerajaan negeri dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mujahid agar dapat memberi tumpuan berkenaan aspek keperluan transformasi pembangunan agama khususnya di Kota Marudu. – SabahNewsToday