Pilih Bahasa

Ingkar PKP: 40 individu diperintah jalani Khidmat Masyarakat tiga bulan, sembilan warga asing dipenjara 14 hari

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Lima puluh dua individu, termasuk dua wanita, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan keluar dari kediaman tanpa sebarang alasan munasabah.

Seramai 40 daripada mereka sepatutnya dikenakan hukuman penjara tiga bulan namun Majistret Lovely Natasha Charles mengarahkan hukuman diganti dengan Perintah Kehadiran Wajib iaitu melakukan khidmat masyarakat selama tiga bulan selepas PKP.

Lovely berkata sekiranya mereka gagal mematuhi perintah itu mereka akan dipenjara tiga bulan.

Sementara itu, sembilan lagi tertuduh yang merupakan warga asing tanpa dokumen sah dihukum penjara 14 hari bermula tarikh mereka ditangkap iaitu antara 16 hingga 18 April.

Tiga lagi tertuduh mengaku tidak bersalah dan dua daripada mereka tidak dibenarkan ikat jamin kerana tidak mempunyai dokumen yang sah manakala seorang lagi dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 6 dan 7 Julai untuk sebutan kes itu. Kesemua tertuduh berusia lingkungan 19 hingga 69 tahun.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 3(1) serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip dan Amirah Muhammad Ali memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam manakala tertuduh, yang tidak diwakili, memohon hukuman ringan, antaranya atas alasan telah berkahwin, mempunyai anak dan tidak mempunyai pendapatan tetap.-SabahNewsToday