Pilih Bahasa

Ini mungkin strategi – Penganalisis politik

Bernama

Oleh Nur Adika Bujang

KOTA KINABALU, 13 Sept — Pertembungan antara Perikatan Nasional (PN) dan rakan sekutu seperti Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di 17 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah disifatkan sebagai saingan yang adil, menurut seorang penganalisis politik hari ini.

Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata ini susulan wujud saingan pelbagai penjuru dalam kerusi  Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut dan berpendapat langkah itu dibuat menerusi persefahaman antara BN dan sekutunya.

“Jika hanya pertandingan satu lawan satu, maka timbul masalah jika sekutu anda secara tiba-tiba cuba mensabotaj anda. Oleh kerana pertandingan pelbagai penjuru, anda tidak akan tahu ia mungkin  satu strategi mereka,” kata pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kerusi tersebut adalah DUN Bengkoka, Telupid, Lumadan, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Kapayan, Karamunting, Melalap, Sook, Bingkor, Moyog, Tulid, Paginatan, Liawan, Tambunan and Tanjung Aru.   

Kebanyakan kawasan pilihan raya itu terletak di pedalaman, tengah dan bahagian utara Sabah dengan sebilangan besar kawasan itu mempunyai majoriti pengundi Kadazan-Dusun-Murut.

Bagaimanapun, Lee menolak unsur salah faham dan gila kuasa dalam situasi pertembungan tersebut.

Beliau menjelaskan bukan kesemua kerusi itu bertindih antara BN dan sekutunya tetapi hanya kerusi yang dipersetujui sebelum ini.

“Bagi saya, ini adalah hebat oleh kepemimpinan atau tidak, anda tidak mampu dapat mencapai kata sepakat,” katanya.

Penganalisis lain pula berpendapat pertembungan di 17 daripada keseluruhan 73 kerusi yang dipertandingkan itu sudah dijangkakan.

Pensyarah Kanan (Kerajaan dan Politik) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Tony Paridi Bagang, bagaimanapun, berpandangan perkara seperti itu berlaku selepas rundingan pembahagian kerusi antara rakan sekutu itu dilihat tidak mencapai kesepakatan.

“Indikasi awal ialah apabila PBS memutuskan untuk menggunakan lambang sendiri pada PRN ini yang memberi mesej untuk meletakkan calon di kebanyakan kawasan.

“Tambahan lagi, PBS sudah keluar daripada BN dan tiada obligasi untuk PBS memenuhi kehendak BN mahupun PN…ia juga boleh digambarkan sebagai perundingan pembahagian atau kompromi kerusi yang kurang berjaya antara PN, BN dan sekutu,” katanya.

Bagang, bagaimanapun, melihatkan pertembungan itu sebagai sebuah ‘perlawanan persahabatan’ antara parti yang menjalin kerjasama dalam membentuk kerajaan.

Penulis dan penganalisis politik tempatan Musli Oli pula berpendapat cabaran yang dihadapi oleh kepimpinan pakatan tersebut di peringkat negeri dalam percaturan politik negeri menyebabkan pertembungan itu akhirnya berlaku dan tidak dapat dielakkan.  

Musli juga berpendapat pertambahan 13 kerusi DUN juga menjadi punca PN dan sekutunya menuntut kerusi tersebut sehingga tidak dapat membuat keputusan berkenaan pembahagian kerusi secara adil.

— BERNAMA