Pilih Bahasa

Inisiatif lahirkan jurulatih berwibawa perlu ditingkatkan

Oleh Sabah News Today

TENOM: Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Tenom  mahu lebih banyak kursus kejurulatihan diadakan di peringkat daerah sebagai inisiatif melahirkan lebih ramai jurulatih berwibawa di negeri ini.

Naib Presidennya, Jamawi Jaafar berkata ini kerana Sabah masih kekurangan jurulatih berkelayakan dan usaha perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa untuk menambahnya.

Kursus dibahagikan kepada sesi praktikal dan teori. Gambar SNT/Ihsan Dun Kemabong

Sehubungan itu, beliau menyambut baik usaha diketengahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Safa Daerah, JJFC dan Pejabat Pendidikan Daerah Tenom yang menganjurkan kursus Kejurulatihan Akar Umbi FAM selama dua hari di Padang Pekan Tenom.

“Jurulatih memainkan peranan penting dalam pembangunan bola sepak di negeri ini dan melalui penganjuran kursus  ini kita percaya dapat melahirkan lebih ramai jurulatih tempatan berwibawa. 

Jamawi menyampaikan sijil penyertaan kursus kepada salah seorang peserta. Gambar SNT/Ihsan Dun Kemabong

“Saya berharap peserta terlibat menterjemahkan dan memanfaat sepenuhnya ilmu diperolehi sepanjang kursus itu untuk membangun dan mengembangkan sukan bola sepak di kawasan masing-masing,” katanya pada majlis penutupan kursus itu di Dewan SJKC Tsi Sin Tenom di sini, semalam.

Seramai 30 peserta menyertai kursus ini yang dibimbing oleh Pemaju Jurulatih Akar Umbi FAM Muhammad Taufiq Cheng dan dibantu oleh Aminuddin Hussin. 

Jamawi (tengah) bersama peserta yang menyertai kursus Kejurulatihan Akar Umbi FAM di Dewan SJKC Tsi Sin Tenom. – Gambar SNT/Ihsan Dun Kemabong

Menurut Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, generasi baharu jurulatih yang berpengetahuan tinggi dan berwibawa sangat penting untuk meneruskan legasi kecemerlangan bola sepak di negeri ini.

“Jurulatih baharu ini akan menambah percambahan idea konstruktif dan terkini yang amat kita perlukan bagi membawa bola sepak Sabah khususnya di daerah ini  ke satu tahap lebih tinggi,” katanya. – SabahNewsToday