Pilih Bahasa

Inisiatif ‘Pondok Prihatin’ ringankan beban penduduk

Oleh Mohd Nazllie Zainul

TAWAU: Menyedari tinggal di kawasan kampung terletak jauh dari bandar utama, seorang penduduk Kampung Blok 31 di sini, mengambil inisiatif membuka sebuah pondok dikenali sebagai Pondok Prihatin bagi memberikan sayur-sayuran secara percuma kepada penduduk setempat.

Norfaizah Karim, 29, berkata pondok berkenaan adalah ideanya sendiri selepas menyedari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengakibatkan kesukaran bagi penduduk kampung memperoleh barangan basah termasuklah sayuran.

Pondok Prihatin memberikan sayuran secara percuma kepada penduduk setempat di Kampung Blok 31, Tawau. -Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Norfaizah berkata kampung itu terletak sekitar 27 kilometer daripada bandar Tawau dan situasi sekarang menyebabkan pergerakan penduduk agak terbatas untuk pergi ke bandar bagi mendapatkan keperluan asas basah.

“Kita melihat bantuan asas kering termsauklah beras, gula,minyak masak, tepung dan gula sering diberikan kepada penduduk namun jarang pemberian melibatkan barang basah seperti sayuran.

“Saya mengumpul duit bersama kakak serta dua lagi sepupunya untuk membeli sayur-sayuran berkenaan daripda petani di kampung kami bagi diletakkan di Pondok Prihatin.

Penduduk setempat tetap mengamal penjarakkan sosial serta pengguna penutup mulut dan hidung ketika datang ke Pondok Prihatin. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

“Antara barangan asas yang kita berikan termasuklah labu, terung, lada, peria, limau kasturi dan terung.

“Bagaimanapun, kita meletakkan syarat iaitu setiap keluarga memerlukan hanya dibenarkan mengambil dua jenis barangan sahaja,” katanya yang memiliki pekerjaan tetap sebagai kerani di Ladang SLDB Apas Balung milik Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah

Berkelulusan Diploma Pengurusan daripada Universiti Antarabangsa UNITAR, wanita yang sudah berumah tangga berkenaan menyatakan Pondok Prihatin mula dibuka kepada orang awam sejak kelmarin bermula pukul 9 pagi.

Pondok Prihatin menyediakan bekalan sayuran percuma kepada penduduk setempat. -Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul-

Namun wanita mesra disapa Ayu itu tidak menyangka niat baiknya membuahkan hasil apabila barangan yang diberikan secara percuma habis dalam masa satu jam sahaja.

Sementara itu, ditanya samaada mahu meneruskan inisiatifnya, Norfaizah berkata dia merancang untuk meneruskan Pondok Prihatin itu pada setiap Jumaat sepanjang tempoh PKP. – SabahNewsToday