Pilih Bahasa

Inovasi penyedut minuman buluh borneo juara keseluruhan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK)

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Ester Ermelissa Ngoai (tiga dari kanan) dan Zulkhaimie Aleakhber (kanan) bersama ahli kumpulan mereka menunjukkan produk penyedut minuman buluh yang berjaya memenangi tempat pertama Konvenyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) sempena Minggu Inovasi (MiNOS) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Inovasi penyedut minuman daripada buluh borneo dinobatkan juara keseluruhan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) sempena Minggu Inovasi (MiNOS) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah 2019.

Inovasi oleh sekumpulan guru daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Lambidan, Kuala Penyu yang dikenali sebagai kumpulan Cerangin, penyedut minuman berkenaan dibuat menggunakan buluh anap atau nama spesifiknya Schizostachyum Blumei.

Ketua kumpulan Cerangin, Ester Ermelissa Ngoai berkata idea penghasilan penyedut minuman mesra alam sekitar itu tercetus selepas mengetahui negara tersenarai tempat kelapan tertinggi mempunyai pencemaran plastik di dunia selain seiring dengan tema Hari Alam Sekitar yang mengetengahkan tema Memerangi Pencemaran Plastik.

“Salah satu produk diperbuat daripada plastik yang selalu digunakan saban hari ialah penyedut minuman dan ia sering dibuang merata tempat sehingga menimbulkan pencemaran.

“Memandangkan Kampung Lambidan, lokasi sekolah kami mengajar mempunyai banyak buluh ini, kami menggabungkan idea ini sebagai salah satu cara menyokong kempen terbabit.

“Paling penting produk ini boleh digunakan semula berulang kali dan apabila dibuang, ia tidak mendatangkan pencemaran kepada alam sekitar,” katanya mencadangkan penggunaan penyedut minuman buluh berkenaan selama tiga buan bergantung kepada penggunaan.

Mistirine (dua dari kiri) bersama Ester Ermelissa (dua dari kanan) dan Zulkhaimie (kanan) menunjukkan produk penyedut minuman buluh yang berjaya memenangi tempat pertama Konvenyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) sempena Minggu Inovasi (MiNOS) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Ester berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan MiNOS Jabatan Pendidikan Negeri Sabah 2019, di sini hari ini.

Naib johan pertandingan dimenangi kumpulan Unic Us daripada SK Gas Sandakan yang mengetengahkan produk hot box manakala tempat ketiga dimiliki kumpulan ICM Team daripada Sekolah Agama Keningau menerusi projek Spider-R dan Diamond-R.

Turut disampaikan Anugerah Penarafan Kendiri Pejabat Pendidikan Daerah (PKPPD) Terbaik, Anugerah Pengurusan Program, Anugerah Pengurusan Pemantauan dan Anugerah Pembudayaan Eksa.

Dalam pada itu, rakan sekumpulan, Zulkhaimie Aleakhber berkata produk inovasi yang dihasilkan itu sudah melalui beberapa ujikaji yang mengambil kira saiz, kesesuaian, ketahanan, fizikal dan keselamatan selain diiktiraf  Jabatan Alam Sekitar Sabah.

Zulkhaimie menyatakan penyedut minuman terbabit bukan sahaja tanda sokongan kepada kempen alam sekitar tetapi boleh dijadikan salah satu platform bagi mengetengahkan profuk tempatan Sabah.

“Ia dijual pada harga RM15 satu set yang terdapat tiga penyedut minuman buluh berlainan saiz selain turut disertakan berus dan beg penyimpanan.

”Setakat ini, produk terbabit sudah terjual lebih 1,000 set sejak dilancarkan pada penghujung bulan Oktober tahun lalu,” katanya peroduk berkenaan boleh didapatkan di Restoran Little Sulap atau pembelian secara atas talian di laman sosial Instagram Borneo Bamboo Straw.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin menyatakan pihaknya sentiasa memberi sokongan berkaitan penggunaan penyedut makanan diperbuat daripada buluh di semua sekolah seluruh negeri.

Mistirine berkata usaha berkenaan bukan sahaja mampu melindungi alam sekitar namun secara tidak langsung dapat mendidik golongan pelajar sekolah rendah mahupun menengah berkaitan pengurangan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian. – SabahNews Today