Pilih Bahasa

Inovasi Sawit Kinabalu bantu kurang kos operasi

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pendekatan inovasi yang diambil syarikat Sawit Kinabalu menggunakan jentera mekanikal pelbagai guna bagi mengurangkan kos operasi adalah salah satu inisiatif yang terbaik sehingga mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata walaupun peralatan yang dicipta bukan sesuatu teknologi yang canggih namun ia berfungsi kepada syarikai itu dalam setiap pengurusan operasinya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melihat proses pemunggahan yang dijalankan pekerja buruh syarikat Sawit Kinabalu. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Kita menggalakkan syarikat untuk mengurangkan beban kos mereka dengan menggunakan alatan yang mereka sendiri reka supaya pergantungan terhadap pekerja buruh serta ketidaktentuan masalah sawit dunia dapat diatasi.

“Jadi langkah mereka lakukan adalah dengan memperkenalkan teknologi jentera pelbagai guna yang salah satunya dinamakan “Tambadau” seperti nama pasukan bola sepak negeri Sabah adalah sesuatu langkah yang efisien dalam penjimatan kos operasi,” katanya.

Antara jentera mekanikal pelbagai guna milik syarikat Sawit Kinabalu. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata demikian selepas melawat kawasan tapak jentera mekanikal Sawit Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dijalankan supaya ladang-ladang di negeri Sabah khususnya dapat mengurangkan kos namun mendapat keuntungan yang banyak.

Tambahnya, tanah di daerah ini turut berpeluang menjadi kawasan tanaman bukan sahaja kelapa sawit namun buah-buahan tempatan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menaiki salah satu daripada jentera mekanikal pelbagai guna yang direka pihak syarikat Sawit Kinabalu dalam mengurangkan kos operasi. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Tawau antara kawasan yang memiliki tanah yang subur dan berpotensi untuk aktiviti penanaman buah-buahan tempatan seperti nangka, rambutan, pamelo kerana hasilnya tidak perlu ditunggu dalam jangka masa yang lama.

“Yang penting adalah bagaimana kita mahu tambah pendapatan dengan menggunakan kos yang sedikit namun mengeluarkan hasil yang banyak dan lumayan,” katanya. – SabahNewsToday