Pilih Bahasa

Inovasi tong sampah kitar semula pintar dinobatkan juara keseluruhan PROJEX 19

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Inovasi tong sampah kitar semula dihasilkan sekumpul pelajar Politeknik Kota Kinabalu dinobatkan juara keseluruhan Pameran dan Pertandingan Projek, Inovasi dan Rekacipta Pelajar ke 19 (PROJEX 19), dekat sini.

Menamakan produk inovasi sebagai EKSA Smart Recycle Bin, kemenangan berganda apabila inovasi sama turut memenangi kategori Projek Inovasi TVET (Kejuruteraan) selain tempat ketiga untuk kategori Pertandingan Poster Terbaik.

Zulhikmah bersama dua rakan dan penyelia bergambar dengan produk inovasi dihasilkan sempena Pameran dan Pertandingan Projek, Inovasi dan Rekacipta Pelajar ke 19 (PROJEX 19) di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

Ketua Pasukan, Zulhikmah Zulkipli berkata idea bagi menghasilkan tong sampah kitar semula itu tercetus selepas inisiatif Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) mula diperkenalkan di Politeknik Kota Kinabalu.

Zulhikmah berkata dia bersama dua lagi rakannya iaitu Haziq Syahmi Dua dan Hastrini M Salleh mengambil keputusan untuk menyumbangkan sesuatu kepada pihak politeknik dari segi kitar semula menerusi pertandingan inovasi terbabit.

Zulhikmah (dua dari kiri) bersama dua rakannya ketika ditemui media selepas perasmian Pameran dan Pertandingan Projek, Inovasi dan Rekacipta Pelajar ke 19 (PROJEX 19) di Kota Kinabalu. -SNT/ Ihsan Penerangan

“Produk ini dihasilkan daripada perahu terbuang yang diperbuat dpd fiber kerana bahan ini lebih tahan lama serta senang dibentuk.

“Saiz bulat pula dipilih kerana bulatan mempunyai isi padu yang besar dari segi empat dan segi tiga selain inspirasi logo EKSA itu sendiri yang berbentuk bulat.

Zulhikmah (kanan) dan Haziq Syahmi (dua dari kanan) memberi penerangan berkaitan produk inovasi ciptaan kumpulan mereka kepada Jennifer (empat dari kanan) sempena Pameran dan Pertandingan Projek, Inovasi dan Rekacipta Pelajar ke 19 (PROJEX 19) di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Tong sampah ini mempunyai tiga bahagian utama iaitu plastik, aluminium dan kertas yang setiap pembahagian boleh menampung lima kilogram bahan buangan.

“Selain itu, produk ini juga mampu memaparkan berat dan harga sisa buangabln apabila sampah dibuang ke dalamnya,” katanya mengambil masa tiga bulan bagi proses keseluruhan penghasilan prototaip berkenaan.

Zulhikmah (tiga dari kanan) bersama dua rakannya menerima hadiah kemenangan bagi kategori Projek Inovasi TVET (Kejuruteraan) sempena Pameran dan Pertandingan Projek, Inovasi dan Rekacipta Pelajar ke 19 (PROJEX 19) di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jennifer Lasimbang mewakili menterinya, Datuk Dr Yusof Yacob.

Disertai 225 pelajar Politeknik Kota Kinabalu, pertandingan terbabit mengetengahkan rekacipta serta inovasi terbaik penuntut.

Dalam pada itu, menurut Zulhikmah, penghasilan EKSA Smart Recycle Bin itu adalah bertujuan mendidik masyarakat terutamanya pelajar dalam politeknik berkaitan kepentingan pengasingan sampah.

Sementara itu, ditanya samaada pihaknya bakal melakukan sebarang perubahan ke atas prototaip dihasilkan untuk mewakili negeri ke pertandingan peringkat kebangsaan, Zulhikmah menyatakan setakat ini tiada sebarang perancangan pengubahsuaian dari segi bentuk disebabkan bentuk sedia ada sudah melambangkan EKSA.

“Bagaimanapun, mungkin ada penambahbaikan warna atau saiz pembahagian ruang di dalam tong sampah pintar berkenaan,” katanya. -SabahNews Today