Pilih Bahasa

Insiatif bersihkan Pantai Lok Kawi dapat sambutan

Sukarelawan yang menyertai program membersihkan Pantai Lok Kawi menunjukkan 50kg sampah sarap yang dikuitp. – Gambar SNT/Ihsan Putatran Uptdates

PUTATAN: Satu inisiatif membersihkan Pantai Lok Kawi secara bergotong-royong telah dijalankan oleh sekumpulan sukarelawan dari Putatan Updates (komuniti media sosial Facebook).

Aktiviti berkenaan berjaya mengutip hampir 50 kilogram (kg) sampah yang terdiri daripada botol kaca dan plastik.

Kesemua sampah berkenaan kemudiannya dikutip oleh Lori Sampah Majlis Daerah Putatan untuk pelupusan.

Beberapa kanak-kanak turut dibawa oleh ibu bapa mereka bertujuan menanam sifat menjaga alam sekitar dari umur muda. 

Aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Juliana Jimis mengajak pengunjung untuk bersama menjaga kebersihan di pantai berkenaan dengan mengutip sedikit sampah yang ada di kawasan tersebut setiap kali mereka berkunjung ke sana. 

Katanya usaha tersebut mampu membersihkan lagi kawasan tersebut sekaligus mengalakkan lebih ramai pengunjung datang ke sana. 

Pantai Lok Kawi dahulunya dikenali sebagai Pantai Meruntum menjadi tarikan beriadah oleh penduduk setempat di samping menjadi lokasi memasang pukat oleh penduduk Kampung Tombovo, Duvanson, Meruntum, Potuki, Dabak/Kopimpinan, Kem Lok Kawi dan kampung-kampung berhampiran.

Menurut Juliana, inisiatif idea tersebut hadir berikutan cadangan seorang pengunjung Pantai tersebut yang juga merupakan ahli PU, Dave David Lajong yang berasal dari Kampung Duvanson.

Untuk rekod, beberapa aktiviti seumpama ini pernah diadakan oleh beberapa lagi kumpuln sukarelawan dan pertubuhan NGO. – SabahNewsToday