Pilih Bahasa

Insiden kematian Mejar Mohd Zahir Armaya diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil dan kemalangan dalam latihan

Oleh Junaidi Ladjana

Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya

KOTA KINABALU: Lembaga Siasatan Tentera Darat Malaysia (TDM) memuktamadkan insiden kematian Mejar Mohd Zahir Armaya ketika melaksanakan latihan keupayaan TDM pada acara pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, 4 September lalu sebagai kejadian terpencil dan ia kemalangan dalam latihan.

Menerusi kenyataan media TDM hari ini, lembaga siasatan turut mendapati peralatan dan kelengkapan yang digunakan ketika latihan keupayaan berkenaan berada dalam keadaan baik.

“TDM akan mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya terhadap individu yang terlibat, sementara standard operating procedure (SOP) dikemaskini jika perlu.

“Selain itu, latihan untuk memperkasakan TDM akan diteruskan khususnya bagi meningkatkan keyakinan semua warga TDM terhadap peralatan dan kelengkapan yang sedia ada,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, daripada aspek kebajikan terhadap Allahyarham Mejar Mohd Zahir dan keluarga disokong untuk dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel oleh Majlis Angkatan Tentera Ke-578 (MAT 578) yang bersidang pada 17 September lalu.

“Tertakluk kepada kelulusan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“TDM telah menghulurkan bantuan yang sewajarnya terhadap balu Allahyarham Mejar Mohd Zahir, Nour Shafinar Harun serta ahli keluarga sejak hari pertama insiden berkenaan berlaku.

“Beliau dan keluarga juga akan terus diberi bantuan dan faedah yang sewajarnya mengikut kelayakan yang ditetapkan dalam perkhidmatan TDM,” ujar TDM. – SabahNewsToday