Pilih Bahasa

INTERAKSI INTERPERSONAL PEMANGKIN LAHIR PELAPIS BERKUALITI

Oleh Datu Ruslan Sulai

Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Uda Sulai (empat dari kanan) menyerahkan sijil kepada murid-murid yang terlibat dalam majlis penganugerahan tersebut di Hotel Pan Borneo, Putatan, hari ini. Gambar SNT/Ehsan Perhubungan Awam DUN Petagas

PUTATAN: Interaksi interpersonal dalam proses pembelajaran yang diterapkan kepada murid-murid pra-sekolah di daerah ini harus menjadi pemangkin dalam menjayakan hasrat kerajaan bagi melahirkan barisan pelapis lebih berkualiti di masa hadapan.

Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Uda Sulai berkata adab dan tatacara sewaktu berinteraksi melalui proses didikan tenaga pengajar atau guru mampu menjadi kayu pengukur kepada keberhasilan kecemerlangan di peringkat akar umbi.

Beliau berkata menerusi penerapan interaksi interpersonal berkesan, murid-murid pra-sekolah yang terlatih dapat bekerja dalam satu pasukan tanpa mengira warna kulit dan agama ketika masih mentah lagi agar amalan berkenaan menjadi kebiasaan sehingga dewasa kelak.

Antara persembahan murid pra-sekolah SK Tombovo di majlis berkenaan. Gambar SNT/Ehsan Perhubungan Awam DUN Petagas

“Interaksi interpersonal merupakan salah satu kaedah penting di antara murid dengan guru mahupun murid dengan bahan pembelajaran, tetapi yang lebih penting adalah interaksi sesama mereka sendiri.

“Selain daripada itu, adab dan tatacara sewaktu berinteraksi serta berkomunikasi perlu turut sama diutamakan supaya mereka dapat berhubung dengan masyarakat sekeliling dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 18 Petagas itu berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Sijil Tamat Pra-sekolah SK Tombovo, Penampang di Hotel Pan Borneo, Putatan, hari ini.

Hadir sama adalah Guru Besar SK Tombovo; Nilius Daud Baktian dan Wakil Pegawai PPD Penampang; Irwin Anjun.

Seramai 37 graduasi yang terdiri daripada murid-murid SK Tombovo menerima sijil tamat pra-sekolah di majlis berkenaan.-SabahNewsToday/Pejabat Perhubungan Awam ADUN Petagas