Pilih Bahasa

IPD Penampang terima sumbangan tiga ekor lembu sempena Aidiladha

Oleh Junaidi Ladjana

PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pada Jumaat menerima sumbangan tiga ekor lembu sempena Aidiladha yang akan disambut Umat Islam di Malaysia, Ahad ini.

Haiwan korban itu disumbangkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (Miti) yang juga Ahli Parlimen Penampang Datuk Darell Leiking.

Pritchard (lima dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Mohd Haris (lima dari kanan) di perkarangan IPD Penampang pada Jumaat. Gambar SNT/Ihsan IPD Penampang

Sumbangan diserahkan oleh Setiausaha Politik Menteri, Pritchard Sebastian Gumbaris kepada Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Mohd Haris ketika ditemui berkata mengambil peluang sempena Hari Raya Aidiladha, pihaknya mendekati masyarakat tidak mengira agama dengan mengadakan Program Kepolisan Komuniti untuk mengagihkan daging sembelihan daripada sumbangan pihak Datuk Darell dan orang persendirian.

Katanya sasaran bukan setakat merayakan bersama umat Islam tetapi melalui program ini dapat diraikan bersama warga bukan Islam.

“IPD Penampang sebagai penganjur kepada usaha murni Datuk Darell yang memberi sumbangan di mana pemberian ini akan diagihkan kepada warga sekitar Penampang dan Putatan tanpa mengira agama… terima kasih kepada Datuk Darell.

“Justeru, warga di daerah ini dan Putatan dijemput hadir pada program itu bagi memeriahkan majlis berkenaan,” katanya.-SabahNewsToday