Pilih Bahasa

IRWAN ISKANDAR MD YASIN KETUA BAHARU BAHAGIAN SIASATAN JENAYAH NARKOTIK TAWAU

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Bekas Pegawai Pasukan Khas Taktikal Narkotik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Bukit Aman, Asisten Superintendan Irwan Iskandar Md Yasin dilantik sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau, hari ini.

Beliau mengambil tugas daripada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau Asisten Superintendan Andi Ma’mur Halwati yang disaksikan Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus.

Fadil Marsus (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen serah terima tugas antara Andi Ma’mur (kiri) dan Irwan Iskandar. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Irwan yang mula bertugas dalam PDRM pada 2009 berkata, beliau akan mempergiat operasi membanteras aktiviti pengedaran dadah habis-habisan di daerah ini.

“Kecemerlangan yang sedia ada kita akan beri penambahbaikan jika perlu. Jadi, apapun sasaran yang diberi oleh IPD Tawau, saya akan sahut.

“Saya berharap masyarakat daerah ini dapat memberi kerjasama dengan pihak kami untuk membantu menyalurkan maklumat berhubung kawasan yang menjadi port pengedar dadah,” katanya ketika ditemui di luar Perkarangan IPD Tawau, di sini, hari ini.

Majlis Serah Terima Tugas diakhiri dengan sesi bergambar bersama Pegawai-Pegawai kanan IPD Tawau. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Majlis serah terima tugas yang diadakan di bilik mesyuarat IPD Tawau, turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Noor Azizulkifli Mansor dan pegawai-pegawai kanan polis.

Sementara itu, bekas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau, Asisten Superintendan Andi Ma’mur Halwati mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh masyarakat dan warga IPD Tawau yang sentiasa memberi kerjasama serta sokongan selama lebih satu tahun bertugas di daerah ini.

Beliau berkata hasil usaha bersama itu, beliau berjaya melakukan tangkapan terbesar berkaitan pengedaran dadah dengan anggaran berat 104 kilogram(kg), tahun lalu.

“Tangkapan tersebut adalah yang terbesar saya lakukan sepanjang Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) ditubuhkan di Sabah.

“Pada tahun lepas juga, kita telah berjaya melakukan 44 tangkapan dibawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ia merupakan tangkapan terbanyak setakat ini di Sabah.

“Saya berharap dengan adanya Ketua Bahagian JSJN yang baharu ini, prestasi JSJN akan menjadi lebih cemerlang,” katanya. -SabahNewsToday