Pilih Bahasa

Istana Negeri nafi TYT terima 33 akuan bersumpah dari Musa

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Istana Negeri hari ini menafikan dakwaan bahawa Yang DiPertua Negeri (TYT) Tun Juhar Mahiruddin telah menerima 33 Akuan Bersumpah daripada kumpulan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman sebelum menandatangani pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah minggu lalu.

Setiausaha Sulit kepada TYT, Haji Abinan Haji Asli berkata Istana Negeri berkata Istana Negeri menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan seorang individu, Datuk Zulkarnain Mahdar seperti yang dilaporkan di dalam media rasmi dan tular di media sosial.

Tun Juhar Mahiruddin. Gambar Fail SNT/Ihsan Penerangan

“Kenyataan tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali serta mengandungi niat jahat,” kata Abinan dalam kenyataan akhbar hari ini di sini.

Beliau berkata Istana Negeri tidak pernah menerima permintaan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi daripada pihak Musa untuk berjumpa dengan TYT.

Menurut Abidan pada 30 Julai lebih kurang jam 3.50 petang rombongan Musa bersama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang memihak kepadanya telah cuba masuk ke Istana Negeri tanpa membuat sebarang permohonan rasmi namun telah disekat pihak polis.

“Istana Negeri tidak pernah mengarahkan pihak polis untuk menahan pihak Tan Sri Musa Aman memasuki kawasan Istana, sebaliknya sekatan itu dibuat bagi mengelakkan daripada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

“Setelah mengambil kira suasana tegang yang berlaku pada masa itu dan memandangkan tiada keperluan bagi rombongan Tan Sri Musa Aman untuk berjumpa dengan TYT oleh kerana Dewan Undangan Negeri telahpun dibubarkan pada pagi 30 Julai, maka TYT Tun telah tidak memperkenankan rombongan tersebut masuk ke Istana Negeri,” kata Abinan.

Beliau berkata Tun Juhar amat kesal dengan laporan tidak benar yang sedang tular di media sosial.

Tun Juhar menasihatkan rakyat supaya bertenang dan tidak mudah percaya berita-berita palsu di Internet serta berhati-hati dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mewujudkan ketegangan dan mengganggu gugat keharmonian, katanya.

Abinan berkata Tun Juhar menyeru rakyat Sabah agar terus bersatu hati dan mengekalkan keharmonian negeri Sabah yang hidup aman damai dalam pelbagai kaum, bangsa dan agama.-SabahNewsToday