Pilih Bahasa

Isteri cedera terkena tembakan bakakuk milik suami

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TELUPID: Seorang wanita parah di bahagian paha dan dua jari kanan selepas terkena tembakan senjata buatan sendiri jenis bakakuk milik suaminya di Kampung Baba, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, mangsa berusia 33 tahun terkena tembakan itu ketika suaminya berusia 49 tahun sedang membersihkan bakakuk terbabit di rumah mereka.

Mangsa cedera di bahagian paha dan dua jari kanan akibat terkena tembakan senjata buatan sendiri jenis milik suami. Gambar SNT / Ihsan polis

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada Pembantu Perubatan Klinik Kesihatan Telupid jam 6.30 petang dan memaklumkan mangsa cedera akibat terkena tembakan.

“Siasatan lanjut mendapati suami mangsa yang bekerja sebagai petani sedang mencuci bakakuk terbabit sebelum terpetik picu dan terkena mangsa yang ketika itu berada berhampiran suaminya.

“Mangsa mengalami parah di bahagian paha dan dua jari kanan. Suami mangsa kemudian menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Telupid seterusnya dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut akibat parah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kasim berkata rakaman percakapan mangsa belum diambil kerana mangsa sedang dirawat dan ditahan di wad hospital.

“Tangkapan sudah dilakukan selepas suami mangsa menyerah diri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada semua masyarakat supaya tidak menyimpan atau memiliki senjatapi tanpa lesen kerana ia adalah satu kesalahan. – SabahNewsToday