Pilih Bahasa

Isteri maut, suami dan dua anak parah kereta rempuh pokok

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang wanita maut manakala suami dan dua anaknya parah termasuk seorang kritikal selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok di pembahagi jalan di Jalan Lintas, dekat stesen minyak Petron, di sini semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa Juninah Amigian, 45, yang duduk di penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Kereta Proton Iswara dinaiki mangsa, suami dan dua anaknya remuk teruk selepas merempuh pokok di pembahagi jalan. Gambar SNT/ Junaidi Ladjana

Suaminya Jamil Djehup, 46, yang memandu kereta jenis Proton Iswara parah dikepala, luka dan calar seluruh badan manakala dua anaknya Nur Sahzarinah, 20, patah tulang rahang di pipi kiri dan Mohamad Arif, 16, kritikal akibat parah di kepala, perut dan mulut.

Jamil dan Nur Sahzarinah dirawat di zon kuning Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) manakala Mohamad ditempatkan di zon merah HQE II.

Difahamkan keluarga terbabit dari Kepayan mengambil Nur Sahzarinah yang bekerja sebagai pembantu Dialisis dan menuju pulang ke rumah mereka di Tebobon.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata siasatan awal mendapati kereta Proton Iswara yang dinaiki sekeluarga itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pokok di pembahagi jalan di lokasi kejadian.

“Akibat daripada itu, mangsa maut di lokasi kejadian manakala pemandu (suami mangsa) dan seorang anaknya parah namun dilaporkan stabil.

“Seorang lagi anak mangsa dalam keadaan kritikal dan masih menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -SabahNewsToday