Pilih Bahasa

Isteri menangis suami ditahan AADK terbabit dadah

Oleh Junaidi Ladjana

Suspek dipeluk isterinya selepas ditahan AADK Kota Kinabalu dalam Ops Cegah di Penampang. – Gambar SNT/Ihsan AADK

KOTA KINABALU: Seorang isteri hanya mampu menangis apabila suaminya ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana terbabit penyalahgunaan dadah dalam serbuan di rumahnya di Penampang.

Ops Cegah selama empat jam bermula pukul 10 malam hingga 2 pagi kelmarin itu turut menahan enam lelaki lain.

Ketua Pegawai AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh berkata lelaki berusia 47 tahun itu pernah ditahan atas kesalahan sama dan ketika ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

Anggota penguatkuasa menyoalsiasat suspek selepas disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah dalam Ops Cegah di Penampang. – Gambar SNT/Ihsan AADK

“Ketika serbuan dijalankan suspek sedang berada di ruang tamu rumahnya. Isteri yang melihat suspek ditahan penguat kuasa AADK menangis sebelum memeluk suaminya.

“Hasil soal siasat suspek mengaku baru menghisap syabu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Lawrence berkata lelaki itu antara tujuh individu yang ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah di empat lokasi iaitu Kampung Likas, Kampung Warisan Inanam, Taman Kingfisher dan Penampang.

Tujuh individu yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah ditahan anggota penguatkuasa AADK. – Gambar SNT/Ihsan AADK

“Ujian saringan air kencing terhadap semua tujuh lelaki mendapati empat daripadanya positif dadah jenis syabu dan tiga positif ganja.

“Semua tangkapan berusia 19 hingga 50 tahun disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Antara individu yang ditahan dalam Ops Cegah di sekitar pusat bandar raya Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan AADK

Sementara itu, beliau berkata pihak turut menjalankan Ops Cegah di beberapa kawasan dalam pusat bandar raya antaranya Kampung Air, Jalan Gaya, Sinsuran dan Bandaran Berjaya. 

Katanya beberapa individu ditahan namun dibebaskan selepas ujian air kencing mereka negatif dadah. – SabahNewsToday