Pilih Bahasa

Isu CEO IDS: Shafie harap semua pihak dapat berdamai

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kemelut dalaman membabitkan isu Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Pembangunan Sabah (IDS) akan segera diselesaikan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau akan memanggil pihak terbabit untuk berbincang bagi menyelesaikan isu dalaman yang berlaku melibatkan agensi tersebut.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Saya sudah mengadakan pertemuan dengan mereka (Pengerusi IDS, Tan Sri Simon Sipaun dan Datuk Dr Johan Arifin Samad) sebelum ini dan saya berharap kita dapat mendamaikan isu ini dengan memanggil mereka sekali lagi untuk memastikan isu-isu yang timbul diselesaikan secepat mungkin.

“Paling penting ialah matlamat penubuhan IDS itu adalah untuk membantu kita menyediakan beberapa dasar yang baik untuk kita menyediakan polisi lebih baik dalam mentadbir negeri ini dan membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung langkah kerajaan negeri dalam menyelesaikan kemelut dalaman IDS ekoran penolakan pelantikan Dr Johan Arifin selaku CEO agensi itu oleh lembaga pengarah IDS pada 29 Mei lalu.

Dalam pada itu ditanya sama ada Dr Johan Arifin akan kekal selaku CEO, Mohd Shafie bagaimanapun enggan mengulas mengenainya. – SabahNewsToday