Pilih Bahasa

ISU JPN TIDAK IKTIRAF SIJIL KAHWIN MAHKAMAH ANAK NEGERI PERLU PENYELESAIAN SEGERA: NGO

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Agaras mahu kerajaan negeri baharu menyelesaikan segera isu Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Sabah yang tidak mengiktirafkan sijil perkahwinan penduduk tempatan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri (MAN) sejak 2002.

Presiden Agaras Michael Frederick berkata, ramai pengadu dari penduduk tempatan turut meminta menteri terbabit untuk membayar Sogit (ganti rugi) kerana menjatuhkan martabat MAN yang telah ditubuhkan sebelum kemerdekaan lagi.

“Tetapi saya meminta mereka bersabar dan biar Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) mengendalikan perkara ini.

“Saya pasti pihak Majlis MHEANS dan Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Jane Lasimbang akan dapat menyelesaikan dengan kementerian persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Michael berkata masalah itu timbul disebabkan ramai yang tampil membuat aduan dengan pihak Agaras bahawa JPN hanya mengiktirafkan sijil perkahwinan yang dikeluarkan Jabatan Daftar Negeri dan tidak menerima sijil perkahwinan yang dikeluarkan oleh MAN.

“Secara peribadi, saya sendiri berasa amat kecewa sekali dengan pengiktirafan seperti ini menyebabkan ramai yang mempunyai masalah mendapatkan sijil kelahiran berstatus warganegara (hijau) dan terpaksa diberikan sijil kelahiran status bukan warganegara serta daftar lewat.

“Isi-isi seperti ini menyebabkan anak-anak warganegara tidak mendapat status sebenar dan mengakibatkan mereka berasa malu untuk meneruskan pelajaran kerana tidak mempunyai Mykad dan status bukan warganegara.

“Tahun lalu kementerian turut mengeluarkan surat perkelilingan ekoran Kementerian Kesihatan Malaysia pada asalnya tidak mengiktiraf sijil perkahwinan dikeluarkan oleh MAN berkuatkuasa pada 2014,” jelasnya.

Jelasnya, perkara berkenaan mendapat bantahan daripada pihak Agaras seterusnya beberapa pihak kementerian tersebut dengan serta merta mengeluarkan surat perkelilingan bahawa sijil perkahwinan yang dikeluarkan MAN adalah diguna pakai.

Sementara itu, katanya, lebih banyak laporan tentang sijil perkahwinan yang dikeluarkan MAN tidak diiktirafkan oleh sebab timbulnya surat perkelilingan.

“Satu pasangan tempatan yang berasal dari Kota Belud Albert Onggo berhadapan masalah yang sudah lama dan berasa kecewa apabila permohonan sijil kelahiran anak mereka tidak diterima oleh pihak JPN.

Anak kepada Albert Onggo yang berasal kampung Tinata Kota Belud tidak mendapat sijil kelahiran warganegara disebabkan sijil perkahwinan kedua orang tuanya tidak diiktiraf JPN. -Gambar SNT/Alfred Petrus

“Kini anak sulung mereka tidak melanjutkan pelajaran kerana malu dan tidak mendapat Mykad seperti anak-anak tempatan yang lain.

“Saya menggesa pihak kerajaan negeri menyemak semula perkara ini secara serius dan memaklumkan kepada pihak JPN bahawa sijil perkahwinan yang dikeluarkan oleh MAN Sabah adalah sah,” tambahnya.

Beliau tidak pasti berapa ramai lagi pasangan yang menghadapi masalah seumpama itu dan apakah jalan penyelesaian yang telah mereka lakukan.

“Tapi saya berharap dengan mendedahkan perkara ini kepada umum tiada lagi rakyat Malaysia khusunya rakyat Sabah menghadapi masalah seperti ini,” katanya. -SabahNewsToday