Pilih Bahasa

Isu keperluan asas sekolah di Sabah akan diatasi segera: Dr Yusof

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Dr Yusof (enam dari kanan) Program Bicara Profesional Awal Tahun 2020 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Ihsan KP&I

KOTA KINABALU: Warga pendidik di Sabah diminta terus komited dalam memastikan hala tuju pembangunan pendidikan yang dirancang oleh kerajaan dapat dicapai sekaligus melahirkan anak bangsa berilmu untuk membina negara.

Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yaacob berkata tanggungjawab itu jelas menunjukkan bahawa aspek pendidikan merupakan agenda utama kerajaan dalam memperkasakan generasi muda.

Dr Yusof (tiga dari kanan) bersalaman dengan para pegawai kanan dan kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang hadir pada Program Bicara Profesional Awal Tahun 2020 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Ihsan KP&I

“Sabah memiliki banyak sumber alam yang ingin diterokai tetapi untuk menjadi rakyat yang berpengetahuan serta mampu menghasilkan inovasi daripada sumber berkenaan mereka perlukan pendidikan.

“Matlamat ini bertepatan untuk negara maju ke hadapan. Oleh itu saya sebagai Menteri bertanggungjawab dalam pendidikan akan cuba mengatur kerjasama di antara kerajaan negeri dan Persekutuan agar agenda pendidikan dapat kita capai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan amanat Program Bicara Profesional Awal Tahun 2020 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Dewan Auditorium Sabah di sini, hari ini.

Dr Yusof (tengah) menerima cenderahati daripada Dr Mistirine sempena selepas menyampaikan amanat dalam Program Bicara Profesional Awal Tahun 2020 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Ihsan KP&I

Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Dr Mistirine Radin dan pegawai kanan jabatan tersebut.

Dr Yusof turut menuntut warga kementerian itu agar mempertingkatkan integriti mereka dalam menjalankan tugas diamanahkan terutama bagi membantu kerajaan mengenalpasti keperluan asas yang diperlukan oleh sekolah-sekolah di negeri ini khususnya di luar bandar.

“Kita banyak isu berkaitan infrastruktur seperti sekolah yang belum mencukupi, daif, kelengkapan asrama belum cukup, dewan dan sebagainya yang perlu diatasi dan dibantu.

“Sebab itu sebelum ini saya minta struktur pendidikan negeri ini disusun supaya kita jelas dengan hala tuju daripada segi perjawatan agar fungsi jabatan ini lebih berkesan,” ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Yusof berkata Sabah mempunyai bilangan sekolah sebanyak 1,299 buah termasuk sekolah dalam hospital iaitu Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu dan Hospital Tawau serta Sekolah Dalam Penjara di Kota Kinabalu dan Sekolah Hendry Gurney di Keningau.

Sementara itu katanya terdapat sebanyak 24 Pejabat Pendidikan Negeri yang turut mengendalikan sekolah yang jauh di pedalaman dan di pulau-pulau di negeri ini.

Pada 2019, beliau memberitahu seramai 43,196 calon telah menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Katanya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah telah berjaya mencapai 58.33 peratus menguasai tahap minimum (MTM) meningkat sebanyak 4.72 peratus berbanding dengan pencapaian MTM UPSR 2018 iaitu iaitu 53.61 peratus.

Beliau menambah JPN Sabah juga berjaya mengurangkan jumlah calon semua E (Belum Menguasai Tahap Minimum-BMTM) iaitu 1.92 peratus berbanding 2.34 peratus pada 2018 yang mana berlaku pengecilan sebanyak 0.42 peratus.

Selain itu peningkatan juga berlaku kepada murid yang mendapat semua A iaitu seramai 292 orang (0.77 peratus) pada 2019 berbanding 259 orang (0.69) pada tahun sebelumnya. – SabahNewsToday