Pilih Bahasa

Isu pelancong asing jadi pemandu pelancong, dive master dibawa ke Mesyuarat Kabinet Negeri

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Isu berhubung pelancong warga asing yang menjadi pemandu pelancong dan bertindak sebagai dive master tanpa permit di daerah ini akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet Negeri.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata terdapat pelancong yang sudah menetap di sini dan menjalankan pekerjaan berkenaan dengan menyalahgunakan pas lawatan mereka.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil penggiat ICT. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Saya akan bawa perkara itu ke mesyuarat kabinet dan saya harap rakyat sama ada warga tempatan mahupun pengunjung atau pelancong di Semporna supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Seminar ICT Sektor Awam Negeri 2019 Peringkat Wilayah Tawau dan Lahad Datu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memandang serius berhubung insiden dua pelancong dan seorang jurulatih menyelam yang terkorban dalam kejadian di perairan Semporna pada Jumaat lepas dipercayai akibat terkena bom ikan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong (dua dari kanan) melawat pameran selepas merasmikan Seminar ICT Sektor Awam Negeri 2019 Peringkat Wilayah Tawau dan Lahad Datu. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata aktiviti bom ikan sudah lama berlaku dan kini mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Ketua Menteri Sabah juga sudah membuat kenyataan sebelum ini dan apa yang lebih penting adalah perkara ini daripada dulu lagi sering berlaku dan keadaan itu sudah disedari tetapi masih ada kes lagi berlaku.

“Kini membabitkan kehilangan nyawa sebab itu dari awal lagi pentadbiran kita melarang melakukan kerja-kerja memusnahkan hidupan di laut dan kini sudah mengakibatkan kehilangan nyawa manusia,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai majlis ICT berkenaan, Jaujan berkata sudah tiba masa untuk memajukan perkhidmatan ICT di Sabah termasuk melengkapkan kemudahan infrastuktur yang lebih baik.

“Penting bagi mana-mana tempat dalam membangunkan Sabah iaitu rangkaian jalan raya, bekalan api, bekalan air dan rangkaian telekomunikasi.

“Jika telekomunikasi tidak sistematik maka infrastruktur tidak berkembang. Kita juga akan ketinggalan zaman sedangkan Sabah sudah menjadi tumpuan utama pelancong,” katanya.

Jaujan turut menyeru penjawat awam dan rakyat tidak hanya bertindak sebagai pengguna ICT tetapi juga sebagai pencipta supaya dapat memenuhi dan mendahului keperluan rakyat. – SabahNewsToday