Pilih Bahasa

ISU PENGURUSAN PERUNTUKAN PPK AKAN DIKAJI SEMULA

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menyelesaikan isu pengurusan dan karenah birokrasi yang melengahkan urusan penyaluran peruntukan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Sabah.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan kementerian pertanian di negeri ini bagi memudahkan penyaluran peruntukan kepada PPK sama ada dana dari kerajaan pusat atau negeri.

Salahuddin merasmikan Bangunan Pejabat PPK Kalabakan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“PPK akan dijenamakan dan perlu diperkasa supaya dapat menjadi payung pelindung kepada ahli dan sentiasa proaktif menjalankan fungsi seperti visi dan misi hala tujunya.
“Keberhasilan dalam pengurusan yang baik dan cekap akan dapat mengangkat PPK di Sabah ini ke tahap sepatutnya.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan PPK tempat mengaut keuntungan peribadi sebaliknya membantu PPK meningkatkan taraf ekonomi ahlinya secara keseluruhan,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Perasmian Bangunan Pejabat PPK kalabakan di Kampung Merotai Besar, di sini, hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub menandatangani buku pelawat Pejabat PPK Kalabakan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Wong Hong [email protected], Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman, dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mazlan Aliman.

Salahuddin turut memuji usaha PPK Kalabakan yang kini memiliki bangunan pejabat dengan peruntukan dan bayaran pampasan bagi tapak pembinaan seluas lima ekar bernilai RM1,690,600.50 yang siap sepenuhnya pada April 2015.

Bangunan pejabat itu katanya akan memberi keselesaan dan pada masa sama peruntukan RM700 ribu juga telah diberikan kepada PPK Kalabakan bagi projek kilang beras dan stesen minyak untuk kemudahan masyarakat.

Sementara itu beliau berkata, kementeriannya menyambut baik projek tanaman durian Musang King yang akan diusahakan di tanah seluas lima hektar di Kalabakan dan akan membantu membekalkan benih asli.

“Projek ini pastinya akan memacu ekonomi ekoran pasaran durian ini bukan sahaja mendapat tempat di peringkat tempatan tetapi juga negara luar, seperti negara China yang suka makan durian, jadi kita akan eksport durian ini ke luar.

“Selepas itu kita akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan mempromosi secara besar-besaran durian ini yang akan dapat menarik pelancong luar berkunjung ke sini,”katanya.

Jelasnya, kejayaan projek ini juga sekaligus dapat membantu dalam meningkatkan ekonomi sektor lain sama ada secara langsung atau tidak.

Pada majlis itu. Salahuddin turut menyampaikan lima replika cek peruntukan yang keseluruhannya bernilai RM21.27 juta kepada penerima yang terpilih antaranya penyerahan geran di bawah Program Agropreneur Muda dan Program Change Upgrade Product. –SabahNewsToday