Pilih Bahasa

Isu takrif orang asal harap diselesaikan: Madius

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Madius (tengah) merasmikan Forum Orang Asal Sabah sempena Sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2019 Peringkat Negeri di KDCA, Penampang. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

PENAMPANG: Kerajaan negeri berharap penyelesaian berkaitan takrif orang asal di negeri ini mampu menemui jalannya menerusi forum sempena Sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2019 Peringkat Negeri, hari ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata isu berkenaan adalah salah satu perkara tertunggak dan penting untuk diselesaikan.

“Kita mempunyai rang undang-undang yang sudah sekian lama menunggu untuk dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu satu pindaan untuk takrifan orang asal.

“Saya harap forum kali ini biarlah semua peserta dan panel membincangkan perkara ini dan memberi pandangan masing-masing kepada kerajaan negeri.

“Saya juga berharap program ini bukan yang terakhir, kita sentiasa mengalukan perbincangan dan pandangan daripada semua pihak termasuklah institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Forum Orang Asal Sabah: Isu dan Cabaran, di sini hari ini.

Ahli panel yang menyertai Forum Orang Asal Sabah: Isu dan Cabaran yang diadakan di KDCA, Penampang. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Forum terbabit dianjurkan sempena Sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2019 Peringkat Negeri yang berlangsung pada 9 dan 10 Ogos.

Dalam pada itu, Madius berkata kerajaan negeri memandang serius perkara berkaitan orang asal di Sabah terutama apabila wujudnya Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri selepas perubahan kerajaan.

“Kita melihat ini sebagai satu penanda aras kemajuan atau pencapaian kerajaan baru yang menunjukkan bahawa kerajan kini berusaha  menangani isu-isu tertunggak.

“Bagaiamanapun, sekiranya kementerian ini gagal menangani isu ini, ia turut memperlihatkan kerajaan kegagalan kerajaan sekarang,” katanya. – SabahNews Today