Pilih Bahasa

Jabatan Air dan CIDB jalin kerjasama pastikan hanya pemegang lesen kompeten didaftar

Oleh Chris Maskilone

Peter (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Operasi ABM Sabah, Tadzul Radim (dua kiri) dan Pengarah Jabatan Air Ir Amarjit Singh (dua kanan). Turut kelihatan Pengarah CIDB Sabah Rosmen Ag Hassan (kiri) dan Setiausaha Tetap Kementerian Dr Ismail S Charles (kanan). Gambar SNT/Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Kualiti pemegang lesen pemasangan paip air akan lebih terjaga dengan termeterainya perjanjian persefahaman (MoU)  kerjasama antara Jabatan Air dengan CIDB melalui anak syarikatnya Akademi Binaan Malaysia (ABM) hari ini.

Dibawah perjanjian persefahaman tersebut, ABM akan bertanggungjawab untuk melatih dan menilai kelayakan pemegang lesen sebelum diperbaharui atau pun dikeluarkan lesen oleh Jabatan Air.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata berikutan daripada kerjasama tersebut, Jabatan Air dapat menumpukan lebih perhatian kepada perkara lain seperti pengurusan air dan sebagainya.

“Dahulu memang ianya diurus oleh Jabatan Air namun kita memikirkan satu pembaharuan perlu dilakukan untuk menambahbaik kualiti pemegang lesen.

“Dengan bantuan CIDB, para pemegang lesen akan diperkasakan,” katanya selepas menyaksikan upacara menandatangan perjanjian persefahaman tersebut di Bilik Mesyuarat Ibupejabat JKR, Sembulan dekat sini hari ini.

Kerjasama ini juga membuktikan bahawa tuduhan Jabatan Air sengaja membebankan para pemegang lesen dengan mengetatkan kelayakan adalah tidak benar, ujarnya.

“Kita menyerahkan hal teknikal kepada CIDB,” katanya.

Sebelum ini juga terdapat kes di mana satu individu memegang banyak lesen dan Peter berkata Jabatan menyerahkan kepada CIDB untuk melihat bagaimana cara mengatasi kes sedemikian.

Menurutnya, sebelum Jabatan Air mengambil langkah mengetatkan kelayakan bagi pembaharuan lesen terdapat lebih kurang 2,000 pemasang paip yang berdaftar.

Namun selepas ditapis terutama dari segi kelayakan kini hanya tinggal 500 pemegang lesen yang berdaftar dengan Jabatan Air.

Walaubagaimanapun, Peter menjangkakan jumlah ini akan bertambah semula berikutan kerjasama Jabatan Air dengan CIDB kerana pemegang lesen akan menjalani latihan terlebih dahulu untuk mendapat perakuan sebelum lesen diperbaharui.

“Di sini saya ingin menyatakan bahawa tiada kekangan bagi mereka yang berkelayakan untuk mendaftar dan mendapatkan lesen,” ujarnya.

Peter turut berpendapat kaedah baharu ini boleh digunapakai bukan sahaja di Jabatan Air dalam kementeriannya tetapi di jabatan-jabatan lain berkaitan teknikal.

“Sudah tiba masanya kita menambahbaik kaedah yang digunapakai sekian lama demi meningkatkan kecekapan dan mutu kerja,” katanya.

Sementara itu, Pengarah CIDB Sabah, Rosmen Ag Hassan berkata jalinan kerjasama antara CIDB melalui ABM dengan Jabatan Air amat dialu-alukan.

“ABM merupakan badan yang bertanggungjawab melatih dan memberi kemahiran kepada pekerja-pekerja khususnya dalam bidang binaan di Sabah.

“Kita lihat kerjasama ini sebagai satu perkembangan yang sihat dan baik dalam meningkatkan kemahiran (pemegang lesen pemasangan paip air) di Sabah,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi ABM (Wilayah Sabah) Tadzul Radim yang mewakili ABM dalam majlis menandatangan perjanjian persefahaman itu berterima kasih kepada Kementerian dan Jabatan Air atas peluang itu.

“Kami berjanji akan membuat yang terbaik,” katanya.

Pengarah Jabatan Air, Ir Amarjit Singh menjelaskan kerjasama tersebut sebenarnya bermula daripada satu kunjungan.

Idea tersebut kemudian berkembang dan diperhalusi sehinggalah ianya menjadi kenyataan pada hari ini.

“Lesen masih lagi dikeluarkan oleh Jabatan Air tetapi bahagian latihan amali dan penilaian diserahkan kepada pihak ketiga (CIDB).

“Kesimpulannya, kita akan mempunyai orang-orang yang kompeten,” katanya.

Amarjit berkata langkah ini juga sejajar dengan sasaran Kementerian untuk menurunkan ketirisan air atau Non-Revenue Water (NRW) negeri Sabah.-SabahNewsToday