Pilih Bahasa

Jabatan Cetak Negeri terima geran RM198,400, bina Taska Sektor Awam

Oleh Alfred Petrus

Hannah (dua kanan) menyampaikan replika cek geran berkenaan kepada Jabatan Cetak negeri Sabah. – Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Jabatan Cetak Kerajaan Negeri menerima Geran Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Tempat Kerja Setor Awam sejumlah RM198,400 dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata peruntukan tersebut baru sahaja diluluskan pada Julai lalu.

Katanya geran berkenaan adalah melalui Belanjawan 2019 yang mana KPWKM diperuntukkan RM10 juta untuk menubuhkan 50 buah taska baharu di agensi kerajaan.

Bagaimanapun, jelasnya sebanyak 66 buah agensi kerajaan telah diluluskan geran untuk menubuhkan Taska di Tempat Kerja iaitu melebihi sasaran sebenar.

“Kelulusan Geran di Tempat Kerja Sektor Awam ini memberi keutamaan kepada agensi kerajaan yang berhasrat untuk menubuhkan Taska baharu, mempunyai permintaan yang tinggi dari kakitangan dan beroperasi secara syif.

“Ini kerana, setakat Julai tahun ini hanya terdapat sebanyak 229 buah Taska di Tempat Kerjadi Agensi Kerajaan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan 14 daripadanya iaitu 6.14 peratus adalah dari Sabah.

“Selain daripada 37 agensi kerajaan yang beroperasi secara syif, sebanyak tujuh buah jabatan atau agensi kerajaan negeri telah diluluskan geran dan tiga daripadanya daripadanya adalah dari negeri Sabah.

“Saya difahamkan bahawa peruntukan yang diluluskan pada Mac dan April tahun ini telahpun diagihkan kepada semua agensi kerajaan kecuali Jabatan Cetak Kerajaan Sabah yang baru sahaja diluluskan pada bulan julai dan proses pengagihan geran sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Cek Geran Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Tempat Kerja Sektor Awam khasnya bagi Jabatan Cetak Kerajaan Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini hari ini.

Beliau yakin agensi-agensi yang telah menerima geran itu suda memulakan kerja-kerja penubuhan Taska dan diharap mereka akan dapat menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian serta pembelian peralaan dalam tahun ini.

Beliau turut menasihatkan kepada semua agensi kerajaan yang akan menubuhkan Taska baharu supaya memastikan Taska mereka berdaftar dan sentiasa mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“Dengan penubuhan Taska di Tempat Kerja Sektor Awam, ia akan dapat memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mendpaat asuhan dan didikan awal serta proses perkembangan menyeluruh dalam membangunkan modal insan yang berkualiti, sihat dan seimbang.

“Peluang untuk menghantar anak-anak ke Taska di tempat kerja juga akan meningkatkan fokus kakitangan kerajaan dalam melaksanakan tugasan dan dapat meningkatkan prestasi lebih baik semasa melakukan kerja.

“Sehubungan dengan itu, diharap agensi kerajaan dan swasta yang belum menubuhkan Taska di Tempat Kerja dapat melaksanakan tanggungjawwab sosial mereka demi kebajikan kakitangan dan masa depan kanak-kanak,” jelasnya. – SabahNewsToday