Pilih Bahasa

Jabatan Hidupan Liar bantu khidmat nasihat teknikal pembinaan rumah sarang burung

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Pegawai Jabatan Hidupan Liar Sabah sentiasa bersedia memberikan khidmat nasihat buat usahawan merancang pembinaan rumah sarang burung di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alm Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata pihaknya melalui Jabatan Hidupan Liar Sabah setakat ini belum mempunyai inisiatif khusus bagi memberikan bantuan teknikal kepada pihak berminat membina rumah sarang burung ketika ini berikutan kekurangan tenaga kakitangan.

Christina Liew. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

“Bagaimanapun, kita sentiasa terbuka untuk membantu mereka yang datang ke semua pejabat hidupan liar bagi mendapatkan nasihat teknikal berkaitan pembinaan rumah sarang burung.

“Jabatan Hidupan Liar juga akan mengeluarkan surat sokongan kepada pihak yang memohon pinjaman bank bagi tujuan sama sekiranya pemohon adalah dalam kalangan peserta kursus menternak sarang burung yang diiktiraf jabatan.

“Dalam pada itu, pihak jabatan turut sudah menerbitkan buku panduan penternakan sarang burung yang telah diedarkan kepada semua pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi dipatuhi oleh semua bakal penternak sarang burung,” katanya.

Beliau berkata ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman  pada sesi soal jawab persidangan hari kedua mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-15, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Christina pada sesi sama turut menyatakan pihak Jabatan Hidupan Liar bakal memastikan semua penternak sarang burung di Sabah mendapatkan permit penternakan sejurus perusahaan mengeluarkan hasil.

Menurut beliau, hal ini disebabkan burung Walit adalah spesis yang dilindungi di bawah Jadual Dua Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang memerlukan permit penternakan sekiranya mahu menternak burung Walit.

“Bayaran permit hanyalah RM200 setahun dan kerajaan tidak mengenakan sebarang cukai selain bayaran permit ini,” katanya. -SabahNewsToday