Pilih Bahasa

Jabatan Imigresen cadang Terminal Feri Tawau beroperasi setiap hari

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah akan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri supaya operasi perjalanan keluar dan masuk penumpang di Terminal Feri Tawau dapat dijalankan setiap hari, bermula 16 Februari depan.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Muhamad Sade Mohamad Amin berkata cadangan ini dibuat hasil daripada permohonan pihak Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau supaya operasi dijalankan sehingga hari Ahad berbanding sebelum ini hanya beroperasi sehingga Sabtu.

Muhamad Sade (lima dari kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada peserta konvoi ke Simanggaris, Sempadan Malaysia – Indonesia. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau juga sudah mengadakan perbincangan bersama agensi-agensi yang terbabit dalam operasi berkenaan dan semua pihak memberi maklum balas positif.

“Agensi-agensi yang menjalankan pemeriksaan di jeti berkenaan turut menyatakan persetujuan supaya operasi ini turut dijalankan pada hari Ahad khususnya bagi perjalanan feri antara Nunukan dan Tawau.

“Bagaimanapun ia bergantung juga kepada kebenaran atau kelulusan daripada pihak Kerajaan Negeri,” katanya ketika ditemui media sempena lawatan kerja beliau selama dua hari ke daerah ini dan Simanggaris, Sempadan Malaysia-Indonesia, di sini semalam.

Turut hadir Konsul Republik Indonesia di Tawau, Sulistijo Djati Ismojo dan Ketua JIM Tawau, Lily Surayani Raona.

Mengulas lanjut beliau berkata cadangan melanjutkan operasi itu juga dapat memberi impak positif kepada ekonomi Sabah.

Muhamad Sade ketika ditemui media. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Kita juga mencadangkan operasi di jeti berkenaan bermula pada 16 Februari. Ini perkara yang positif kerana ianya akan memberikan peluang rakyat Indonesia mengunjungi Tawau sekaligus akan membantu perkembangan ekonomi di kawasan Tawau khususnya di Sabah.

“Ini juga adalah maklum balas kita kepada pengumuman bahawa pihak kerajaan Indonesia akan memindahkan ibu negara Indonesia di Kalimantan Timur bermula tahun 2023,” jelasnya.

Dalam pada itu, pihaknya masih mencari tapak yang bersesuaian bagi membangunkan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQS) di Serudong sebagaimana yang diperuntukan dalam Bajet 2020.

“Kita mencadangkan satu lokasi titik tanda 708 yang kita dapati tapak itu sesuai kerana di sebelah Indonesia sudah tersedia kemudahan prasarana tetapi ini bergantung kepada isu teknikal berkaitan kelulusan.

“Namun kajian perlu dijalankan terlebih dahulu oleh pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam aspek keselamatan bagi tujuan pembinaan CIQS itu,” katanya.

Muhamad Sade berkata laporan berkaitan cadangan lokasi CIQS akan dimajukan kepada pihak kerajaan dan keperluan mewujudkan CIQS itu penting bagi mengelak daripada rakyat kedua-dua negara masuk secara haram.

Dalam Bajet 2020 sebanyak RM600 juta peruntukan disediakan kepada Kalabakan bagi pembinaan Jalan Kalabakan-Serudong serta pembinaan CIQS termasuk kuarters kakitangan kerajaan di Serudong. –SabahNewsToday