Pilih Bahasa

JABATAN PENDIDIKAN SABAH TETAPKAN 24 KPI 2019

Oleh Alfred Petrus

Mistirine (depan tengah) merakamkan gambar kenangan bersama warga pendidik yang hadir pada program tersebut. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) menetapkan 24 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 2019 di bawah kepimpinan baharu pengarahnya Mistirine Radin.

Mistirine berkata penetapan KPI tersebut merangkumi bidang iktisas dan pengurusan pentadbiran yang perlu dicapai sepanjang tahun bagi mencapai peningkatan sistem pendidikan dalam Gelombang Dua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Antara lain katanya meningkatkan peratusan lulus murid dalam semua subjek, pengurusan sekolah yang lebih efisien, penglibatan ibu bapa secara sukarela dalam aktiviti sekolah, penyediaan infrastruktur asas sekolah, pemantapan pemantauan pelaksanaan program, keberadaan pengetua dan guru besar serta meningkatkan kemahiran pendidik.

Mistirine (tiga kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang kuiz pada program tersebut. Gambar SNT/Alfred Petrus

“KPI itu sendiri adalah daripada sektor-sektor di JPN dan kami akan laksanakan bersama-sama.

“Tetapi apa yang penting bagi saya sebagai pengarah adalah memastikan KPI itu tercapai.

“Kami akan melaksanakan beberapa intervensi untuk mencapainya. Sebagai contoh untuk mencapai pencapaian tahap minimum sekolah rendah, kami akan memastikan Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) itu berlaku di kelas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bicara Profesional Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah 2019 di sini pada Rabu di sini pada Rabu.

Jelasnya JPNS akan membuat banyak pemantauan ke sekolah-sekolah tahun ini.

“Kami telah merancang pemantauan ini dan sudah pasti kami akan jarang berada di pejabat.

“Kita akan turun ke sekolah juga untuk melihat bagaimana sekolah melaksanakannya,” jelasnya.

PENDAFTARAN MURID TANPA DOKUMEN

Sementara itu, Mistirine berkata JPNS masih menggunakan panduan lama dalam pendaftaran murid warganegara dan tanpa dokumen.

“Sekarang ini kami masih menggunakan peraturan sedia ada iaitu terdapat tiga kategori pendaftaran murid.

“Pertama, murid warganegara. Kedua, murid bukan warganegara dan mempunyai dokumen dan warganegara tanpa dokumen,” katanya. -SabahNewsToday