Pilih Bahasa

Jabatan Penerangan dan Belia Usia jayakan program Tazkirah Ramadan ‘On Wheels’ di Tenom

Oleh Sabah News Today

KEMABONG: Meskipun dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ianya tidak menghalang Jabatan Penerangan Tenom berkolaborasi bersama Badan Belia Usia Tenom melaksanakan program Tazkirah Ramadan On Wheels.

Dengan mematuhi tatacara pengendalian piawai SOP yang ditetapkan, program ini bergerak ke berapa buah masjid di kawasan Kemabong dan Melalap.

Mohd Taslim (dua kiri) mewakili Jamawi menyampaikan sumbangan pelitup muka kepada pengerusi masjid Kampung Mandalom Kemabong.-Gambar SNT/Ihsan Belia Usia Tenom

Ketua Belia Usia bahagian Tenom Imam Mohd. Taslim Haji Tahir yang mewakili Ketua Belia Usia Pusat yang juga Adun Kemabong Jamawi Jaafar  berkata program ini merupakan pengimarahan bulan Ramadan walaupun dalam suasana sukar disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

“Program ini digerakkan mengikut peraturan SOP yang ditetapkan tanpa perhimpunan orang ramai dalam majlis yang diadakan dengan pengisian tazkirah agama yang telah dirakam dan dipancarkan melalui pembesar suara (atas kenderaan yakni On Wheels) untuk didengar oleh penduduk kampung.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui di program tersebut di Kampung Mandalom dekat sini baru-baru ini.

Turut disampaikan sumbangan bubur lembik dan kuih muih untuk juadah berbuka penduduk setempat.-Gambar SNT/Ihsan Belia Usia Tenom

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Tenom Mas Syazwan Massod, Pegawai Penerangan Daerah Tenom Shiman Rahman dan Pegawai Takbir JHEAINS Tenom Mohd Hanif Kifly

Menurut Mohd Taslim yang juga Penolong Setiausaha Badan Belia Usia Pusat, selain tazkirah agama, langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19 dan pematuhan PKP juga turut dihebahkan bagi memberikan kefahaman kepada masyarakat luar bandar.

“Selain itu kita juga memberikan sumbangan juadah berbuka puasa kepada penduduk setempat dan sumbangan pelitup muka,” katanya.

Tazkirah agama dan ceramah pencegahan Pandemik Covid-19 disampaikan melalui corong pembesar suara.-Gambar SNT/Ihsan Belia Usia Tenom

Selain Kampung Mandalom, program tersebut turut diadakan di 14 buah kampung lain di kawasan Parlimen Tenom yang merangkumi dua kawasan Dun iaitu Melalap dan Kemabong.-SabahNewsToday