Pilih Bahasa

JABATAN PENJARA MALAYSIA BELANJA RM114 JUTA SETAHUN UNTUK MAKAN MINUM PENGHUNI PENJARA SABAH

Oleh Mohd Adam Arinin

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Mohd Azis Jamman (enam kiri) merakamkan gambar bersama pegawai Jabatan Penjara Malaysia Cawangan Sabah di Kompleks Jabatan Penjara Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Jabatan Penjara Malaysia membelanjakan RM114 juta setahun untuk menanggung kos makanan dan minuman lebih 7,000 penghuni penjara yang sedang menjalani hukuman di semua penjara di Sabah ketika ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata ini bermakna Jabatan Penjara Malaysia membelanjakan hampir RM9.5 juta sebulan dengan kos antara RM35 dan RM41 sehari bagi setiap penghuni.

Menurutnya jumlah perbelanjaan besar ini adalah disebabkan populasi penghuni penjara yang melebihi kapasiti setiap penjara di negeri ini dan dikhuatiri boleh mengancam keselamatan kakitangan penjara dan penghuni.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Mohd Azis Jamman (kanan) bergambar sebelum taklimat dimulakan pada program lawatannya di Kompleks Jabatan Penjara Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Satu lagi isu yang saya dimaklumkan ialah penjara di negeri ini hanya mampu menampung kira-kira 5,000 penghuni tetapi kini populasinya sudah mencecah 7,000 iaitu terlebih 2,000 orang,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Kompleks Penjara Kota Kinabalu, hari ini.

Tambah Mohd Azis, beliau akan membawa perkara itu untuk dibincangkan di peringkat kementerian dan kerajaan bagi mendapatkan lebih banyak peruntukan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Mohd Azis Jamman memeriksa barisan Kawalan Suku ketika hadir pada Program Lawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri di Kompleks Jabatan Penjara Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Walaupun kerajaan baharu ketika ini berdepan dengan kekangan perbelanjaan, sepatutnya tiada sebarang kompromi apabila ia membabitkan isu keselamatan.

“Saya turut dimaklumkan jabatan ini turut berdepan kekurangan kakitangan selain tidak dilengkapi peralatan persenjataan yang mencukupi bagi mengawal sebarang kejadian yang tidak diingini pada masa akan datang,” katanya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Mohd Azis Jamman pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Kompleks Jabatan Penjara Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Tambahnya, bagi menyelesaikan masalah kesesakan sebuah penjara baharu sedang dibina di Lahad Datu akan tetapi projek berkenaan mungkin mengalami kelewatan berikutan tahap pelaksanaannya baru mencapai tiga peratus.

Beliau juga menyatakan kakitangan penjara juga layak menerima insentif RM200 seperti badan beruniform lain sejajar tugas mereka yang perlu berdepan ancaman keselamatan diri mereka pada setiap hari. -SabahNewsToday