Pilih Bahasa

Jabatan Penjara sedia laksana reformasi

Suria (tengah) bergambar kenangan bersama Pegawai-Pegawai kanan Penjara Negeri Sabah dan Labuan. – Gambar SNT / Ehsan Jabatan Penerangan

LABUAN: Kira-kira dua pertiga banduan dijangka menjalani pemulihan di dalam komuniti menjelang tahun 2030 selaras dengan agenda Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Penjara, Datuk Sri Zulkifli  Omar, jabatan itu perlu bersiap sedia dengan pelaksanaan komuniti dalam pemulihan dan percubaan (probation and community corrections).

“Konsep pemulihan di dalam komuniti  ini antara lain melibatkan penangguhan hukuman (deferred sentences), parol harian (parol day), tahanan rumah (home detention), perintah pemasyarakatan (community order) dan perintah pengawasan (prison supervision).

“Langkah memperkenalkan pelaksanaan komuniti dalam pemulihan ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos pengurusan penghuni dan kesesakan di dalam penjara, malah apa yang lebih penting adalah peranan penglibatan masyarakat yang terbukti adalah faktor penting dalam menjayakan pemulihan penghuni,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Peringkat Jabatan Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Pusat Koreksional Labuan di sini hari ini.

Pemeriksaan perbarisan oleh Suria (kiri) pada Perhimpunan Bulanan Peringkat Jabatan Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Pusat Koreksional Labuan. – Gambar SNT / Ehsan Jabatan Penerangan

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Penjara Negeri Sabah dan W.P Labuan, Timbalan Komisioner Penjara, Suria Idris.

Pada majlis itu, Suria turut menyempurnakan pemakaian pingat bagi tiga orang pegawai Pusat Koreksional Labuan yang telah disahkan dalam perkhidmatan.

Hadir sama Pengarah Pusat Koreksional Labuan, Abd Rauf Lang Pasih, Ketua-ketua Institusi Penjara Negeri Sabah dan Ketua-Ketua Bahagian Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Labuan.

Dalam pada itu Zulkifli turut mengingatkan bahawa asas pemulihan bermula dengan pengukuhan sahsiah diri penghuni menerusi Program Pembangunan Insan (PPI). 

Beliau berkata pemulihan yang merangkumi kaunseling, agama, disiplin diri, kemahiran vokasional, pendidikan dan laluan kerjaya hendaklah terus diperkukuhkan memandangkan ia adalah aspek penting yang membolehkan program pemulihan sama ada di dalam atau di luar tembok penjara lebih berjaya pelaksanaannya.

“Pada tahun lalu, sebanyak 24 perjawatan baru termasuk satu jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Pemasyarakatan) dan dua Bahagian baru iaitu Bahagian Agama dan Kaunseling serta Bahagian Banduan/Tahanan Radikal dan Berisiko Tinggi diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).  

“Penstrukturan semula Jabatan Penjara ini dapat memperkukuhkan sistem kepenjaraan selaras dengan peranannya yang bukan lagi semata-mata sebagai institusi penahanan tetapi juga sebagai institusi pembangunan dan pembentukan semula insan,” katanya lagi.

Sehubungan itu beliau menyeru agar semua warga jabatan itu mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi serta membudayakan amalan kerja cemerlang dan berintegriti.  

Katanya jabatan mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran reformasi Jabatan Penjara yang akan melibatkan penambahbaikan dalam aspek penahanan, pematuhan standard layanan, pemulihan, latihan kakitangan, fasiliti koreksional dan reintegrasi.  

“Apa yang tersirat di sebalik agenda reformasi Jabatan Penjara ini adalah usaha gigih dan bersungguh-sungguh amatlah diperlukan dari segenap lapisan warga Jabatan ini agar penambahbaikan dapat dilaksanakan sebaik mungkin. – / PENERANGAN LABUAN