Pilih Bahasa

Jabatan Perhutanan Sabah, ISME Jepun sambung kerjasama pemuliharaan bakau

SANDAKAN, 23 Ogos — Memorandum Persefahaman (MoU) untuk melaksanakan fasa ketiga pemuliharaan pokok bakau terdegradasi di Sabah ditandatangani hari ini.

Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) dalam kenyataan di sini berkata MoU itu ditandatangani oleh Timbalan Ketua Konservator Hutan Fadzil Yahya dan Pengarah Eksekutif Persatuan Ekosistem Hutan Bakau Antarabangsa (ISME) Prof Shigeyuki Baba untuk projek selama lima tahun.

Projek itu yang dibiayai Tokio Marine & Nichido Fire Insurance Co Ltd (TMN), Jepun, akan dilaksanakan oleh SFD dengan bimbingan teknikal daripada ISME, organisasi NGO saintifik antarabangsa bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di Okinawa, Jepun.

Bagi fasa ketiga projek bagi tempoh 2019-2024, sasaran penanaman tahunan ditetapkan bagi 35 hektar setahun iaitu 5.5 juta yen akan disalurkan ke SFD oleh ISME untuk menyokong perbelanjaan program pemuliharaan di Sabah.

“Untuk memantau kemajuan projek pemuliharaan ini, jawatankuasa pemandu projek yang dipengerusikan bersama oleh ketua konservator SFD dan pengarah eksekutif ISME akan bertemu dua kali setahun,” menurut SFD.

Untuk rekod SFD telah adaptasi Dasar Pandang Ke Timur sejak 2011 dalam pengurusan hutan bakau mampan di Sabah melalui kerjasama SFD-ISME.

Bagi fasa pertama projek (2011-2014) dengan sasaran penanaman tahunan 50 hektar setahun dan fasa kedua (2014-2019) sasaran penanaman tahunan 40 hektar setahun telah berjaya menanam 444,133 pokok dan spesies sesuai meliputi 351 hektar di lapan daerah perhutanan yang melibatkan 23 kawasan penanaman rizab hutan bakau yang terdegradasi.

Sabah, negeri pertama di Malaysia yang menjalin kerjasama dengan ISME, yang menjalankan latihan alam sekitar dan aktiviti pendidikan melalui kerjasama dengan organisasi, universiti, institut penyelidikan dan komuniti tempatan.


Pada masa ini, keahlian ISME termasuk 44 institusi dan lebih 1,200 individu daripada 94 negara.

Sempena termetrainya MoU itu, sukarelawan Jepun dari TMN diketuai Naib Presiden Kanannya, Makoto Okada berkunjung ke Sabah untuk menanam pokok bakau di Sulaman Wetlands di Tuaran dan Pulau ISME di Weston, Beaufort sebagai sebahagian projek jari hijau mereka. 

Syarikat insurans menganggap ekosistem bakau sebagai insurans bumi dan telah berjanji untuk menyokong pemuliharaan bakau sejak tahun 1999 bagi tempoh 100 tahun.

— BERNAMA