Pilih Bahasa

JABATAN PERTANIAN SABAH TEGAS DALAM LARANGAN BAWA MASUK BENIH GUARANA DALAM NEGERI

Datuk Idrus Shafie. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KENINGAU, 20 Mac (Bernama) — Jabatan Pertanian Sabah tidak pernah menerima sebarang permohonan permit import untuk membawa benih guarana ke negeri Sabah, dan mana-mana pihak yang membawa masuk benih tumbuhan itu ke dalam negara dianggap telah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Pengarahnya Datuk Idrus Shafie berkata sehingga hari ini pihaknya tidak pernah menerima sebarang makluman daripada agensi komponen Kuarantin Malaysia yang dianggotai oleh Kementerian Pertanian Malaysia dan kementerian di peringkat Sabah dan Sarawak untuk memberi kebenaran bagi membolehkan guarana dibawa masuk ke dalam negeri.

“Fungsi kami (Jabatan Pertanian) ialah memastikan kelangsungan industri pertanian tanpa gangguan penyakit, Ini sebab utama kenapa kita sangat tegas,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas melancarkan penuaian Projek Penanaman Jagung Bijian Daerah Keningau 2019 di sini, hari ini.

Guarana atau paullina cupana merupakan sejenis pokok herba yang berasal dari Venezula dan Utara Brazil, yang berfungsi sebagai perangsang sistem saraf pusat dan mengandungi dua kali kafein daripada kopi, dan kerajaan telah mengharamkan import tumbuhan dan benih Guarana dari kawasan Tropika Amerika itu kerana dikhuatiri membawa penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (SALB).

Idrus berkata jabatannya tidak berkompromi dan tidak membenarkan mana-mana benih atau sebarang tumbuh-tumbuhan daripada luar negara dibawa masuk ke dalam negeri, terutama daripada negara berisiko tinggi penyakit.

“Jika tidak ditangani dengan bijak, kita bimbang ia dibawa masuk dengan cara tidak betul dan membawa penyakit yang boleh memusnahkan industri pertanian negeri. Penyakit yang amat kita takuti ialah SALB kerana ia adalah satu penyakit yang paling bahaya kepada tanaman getah,” katanya.

Beliau berkata usaha bersama perlu untuk memastikan sektor pertanian negeri tidak terjejas dari jangkitan penyakit.

— BERNAMA