Pilih Bahasa

Jadikan Al-Quran sebagai petunjuk

Jamawi (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Tokoh Maal Hijrah Daerah Tenom Kassim Yunus. – Gambar SNT/Ihsan media Dun Kemabong

TENOM: Umat Islam perlu menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam menyelesaikan pelbagai persoalan kehidupan manusia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, Jamawi Jaafar berkata jika umat Islam menjadikan Al Quran sebagai rujukan dengan mempelajari mendalami dan memahami agama Islam yang benar mengikut kefahaman Al-Quran sudah tentu penghijrahan dalam mencapai kecermalangan hidup baik di dunia dan di akhirat akan tercapai.

“Al-Quran adalah manual kehidupan dan kitab petunjuk ke jalan yang sebaik-baiknya dan merupakan hidayah  dalam pelbagai persoalan kehidupan manusia.

“Ia memberi panduan mengenai dasar asasi dan utama persoalan dalam setiap bidang kehidupan,” katanya ketika berucap merasmikan Tilawah AL Quran dan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Tenom dan Kemabong di dewan terbuka Masjid Ar Rahman, di sini kelmarin.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah, Tenom Mas Syazwan Masood; Penolong Pegawai Takbir JHEAINS Tenom, Mohd Yacob Ismail; Ketua Usia Bahagian Tenom, Piduman Abdul Majid dan Pengerusi Masjid Ar Rahman Tenom, Suraimi Magi.

Jamawi (dua dari kanan) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Kelas Bimbingan Saudara Baru Tenom. – Gambar SNT/Ihsan unit media Dun Kemabong

Pada majlis tersebut Jamawi turut menyampaikan Anugreh Tokoh Maal Hijrah Daerah Tenom yang diberikan kepada Kassim Yunus dan juga sumbangan kewangan kepada beberapa buah pertubuhan Islam di daerah itu antaranya Usia bahagian Tenom, Kafa, Badan Dakwah Daerah Tenom dan Klas Bimbingan Saudara baru.

Dalam pada itu Jamawi yang juga Ketua Belia Usia Sabah berkata umat Islam hari ini sepatutnya mensyukuri nikmat hijrah yang dikecapi kerana ia membuka lembaran baharu apabila ajaran Islam mula diterima dan tersebar secara meluas.

“Hijrah Nabi Muhammad SAW adalah untuk menyatukan dan memperkuatkan umat Islam dengan Islam yang memimpinnya,” katanya.

Dalam konteks ini tambah beliau umat Islam hari ini, sewajarnya menjadikan Baginda dicontohi kerana berjaya menyatukan umat atas dasar politik Islam. – SabahNewsToday