Pilih Bahasa

Jadikan negeri Borneo contoh dalam bidang pelancongan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

IPOH: Kerajaan negeri menjadikan Sabah dan Sarawak contoh terbaik dalam bidang pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata dua negeri berkenaan dilihat mempunyai perkembangan bidang pelancongan yang sangat dan sentiasa berkembang.

Ahmad Faizal ketika ditemui media pada program Kembara Media Perak 2019. Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

“Kita lihat dua negeri ini begitu ke hadapan dalam bidang ini.

“Kepelbagaian budaya serta produk pelancongan yang sedikit berbeza menjadikan negeri borneo ini unik serta sedikit berbeza.

“Mungkin kita boleh mempelajari banyak perkara daripada agar boleh terus memajukan negeri ini dalam pelbagai bidang,” katanya.

Ahmad Faizal (enam dari kiri) bersama media yang mengikuti Kembara Media Perak 2019 di Ipoh. Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

“Kita berpendapat boleh menjalinkan kerjasama antara dua pihak dalam usaha  promosi pelancongan secara bersama memandangkan tahun hadapan adalah Tahun  Melawat Malaysia 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena acara makan malam sempena Kembara Media Perak (KMP) 2019, dekat sini, malam semalam.

Turut hadir Exco Pelancongan Perak, Tan Kar Hing.

Dianjurkan Jabatan Penerangan, KMP 2019 disertai 23 wakil agensi media tempatan seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak akan menjelajah beberapa lokasi menarik di sekitar negeri Perak.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata beliau turut melihat negeri Sarawak sebagai negeri yang mempunyai antara pembangunan sukan terbaik di negara ini.

“Saya sendiri pernah bercakap dgn Ketua Menteri Sarawak untuk saya melawat sendiri ke sana bagi mempelajari cara mereka membangunkan perbadanan stadium di sana selain mahu melihat cara kerajaan negeri berjaya melatih atlet dan sebagainya,” katanya. -SabahNews Today