Pilih Bahasa

Jalinan kerjasama Sabah – Jiangxi pacu kemajuan perindustrian

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie (kiri) dan Yi Lianhong menandatangani Surat Hasrat untuk mewujudkan wilayah berkembar di Qianhu State Guest House, Jiangxi. – Gambar SNT/Ihsan JKM

Jiangxi, CHINA: Kerjasama Sabah dan Wilayah Jiangxi mampu menjadi titik tolak terhadap usaha menggerakkan revolusi perindustrian di Sabah.

Sabah dan Wilayah Jiangxi menandatangani surat persefahaman jalin hubungan wilayah kembar semasa Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membuat kunjungan hormat terhadap Governor Jiangxi, Yi Lianhong di Qianhu State Guest House di sini.

Mohd Shafie berkata pemilihan Jiangxi kerana kedudukannya berdekatan dengan Sabah dan pertumbuhan ekonomi pesatnya yang menyaksikan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) wilayah itu meningkat 8.7 peratus kepada RM1.35 trilion pada 2018 berbanding tahun sebelumnya.

Mohd Shafie dan Yi Lianhong bersalaman dalam pertemuan kedua-dua pemimpin di Qianhu State Guest House, Jiangxi, China. – Gambar SNT/Ihsan JKM

Selain itu katanya Sabah juga tidak asing sebagai destinasi pelancongan bagi rakyat negara itu dan telah menerima jumlah ketibaan pelancong dari China yang tertinggi di Malaysia.

“Begitupun sebagai negeri pengeluar minyak tertinggi dan pengeluaran gas asli kedua terbesar di Malaysia, Sabah sebenarnya menawarkan banyak peluang untuk diterokai oleh pelabur China,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Gabenor Jiangxi, Yi Lianhong di Qianhu State Guest House di sini hari ini.

Dalam pertemuan itu kedua-dua pemimpin turut menandatangani Surat Hasrat untuk mewujudkan wilayah berkembar.

Mohd Shafie dan Yi Lianhong mengadakan perbincangan mengenai hala tuju kedua-dua wilayah di Qianhu State Guest House, Jiangxi, China. – Gambar SNT/Ihsan JKM

Mohd Shafie berkata Sabah dan Jiangxi juga berhasrat meneroka bidang perdagangan, pelaburan, pertanian dan pelancongan untuk menjana manfaat bersama dan menggalakkan kemakmuran dan pembangunan kedua-dua wilayah.

Dalam maklum balasnya, Gabenor Yi mengalu-alukan kehadiran Mohd Shafie ke Jiangxi dan mencadangkan hubungan kedua-dua wilayah itu bukan semata-mata melangkaui perdagangan dan ekonomi, malah untuk menjayakan budaya dan pendidikan masing-masing.

Sempena lawatan itu Persatuan Persahabatan Ma-Zhong Sabah turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Persatuan Rakyat Jiangxi untuk menggalakkan kerjasama persahabatan antara Sabah dan Jiangxi.

Jiangxi yang terletak di tenggara China mempunyai kawasan seluas 166.900 kilometer persegi dengan penduduk 46 juta dan ia dikenali sebagai wilayah perikanan dan tanaman padi.

Lokasinya adalah strategik yang menghubungkan timur dengan barat dan utara dengan selatan di kawasan itu.

Dalam pada itu Mohd Shafie turut melawat ibu pejabat Jiangxi Copper Corporation, yang disenaraikan dalam senarai Fortune 500. – SabahNewsToday