Pilih Bahasa

Jambatan Sungai Damit hubungkan pekan Tuaran dan Tamparuli 30 peratus siap

TUARAN, 5 Sept — Kira-kira 30 peratus pembinaan jambatan konkrit menyeberang Sungai Damit, menghubungkan pekan Tuaran dan Tamparuli selesai, sekali gus memberi harapan kemudahan itu boleh digunakan penduduk tidak lama lagi.

Jambatan Sungai Damit 30 peratus siap. Gambar Bernama

Tinjauan Bernama mendapati, pemaju yang dilantik kerajaan kini giat menyiapkan struktur utama kemudahan bernilai RM18 juta, yang dinantikan penduduk berhampiran sejak sekian lama menggunakan pelbagai peralatan khas termasuk jentolak.

Mengikut pelan, jambatan itu mempunyai reka bentuk sama dengan jambatan kedua menyeberang Sungai Tamparuli, sekali gus menjadikan daerah ini memiliki dua jambatan sama kelak.

Difahamkan, kerja memasang struktur kemudahan sepanjang 104 meter itu yang dibina daripada besi itu bermula sebulan lalu, sebelum bercantum pada tiang utama dalam tempoh terdekat ini.

Jambatan baharu itu bakal menjadi kemudahan lebih 7,000 penduduk Kampung Sawah, Sungai Damit, Bintangor, Pitas, Bantayan, Damat dan Bontoi, Tamparuli.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim menyifatkan pembinaan jambatan itu penting bukan hanya menjadi kemudahan penduduk setempat, malah boleh membantu merancakkan pembangunan Tuaran dan Tamparuli.

“Saya gembira kerana akhirnya harapan penduduk kampung seperti Sungai Damit dan Sawah, serta yang lain menjadi kenyataan memperoleh kemudahan penting berkenaan selepas sekian lama menanti,” katanya kepada Bernama, di sini.

Sehubungan itu, beliau berharap semua urusan harian penduduk berhampiran akan menjadi lancar dan mudah dengan kewujudan jambatan konkrit yang kukuh dan indah itu.

— BERNAMA