Pilih Bahasa

Jambatan Sungai Segaliud selamat kepada kenderaan – BHP

Sebelah kiri jambatan yang runtuh. Pejalan kaki yang menyeberangi sungai perlu menggunakan sebelah kanan jambatan tersebut. – Gambar SNT/Ihsan BHP

KOTA KINABALU, 26 Julai (Bernama) — Komponen utama jambatan Sungai Segaliud di jalan Sandakan-Kinabatangan masih kukuh dan selamat kepada pengguna walaupun ia kehilangan dua besi penyokong, yang mengakibatkan laluan untuk pejalan kaki ditepinya runtuh, baru-baru ini.

Borneo Highway PDP Sdn Bhd (BHP) dalam kenyataan hari ini berkata pemeriksaan di jambatan itu pada 19 Julai lepas mendapati konkrit bertetulang di tepi laluan kiri dari arah Kinabatangan membengkok ke bawah dan akhirnya jatuh ke dalam sungai pada hari berikutnya.

“Pekerja di jambatan sungai Segaliud itu dimaklumkan pada lewat petang 18 Julai oleh penduduk berhampiran mengenai bunyi kuat dari arah jambatan itu. Ia disyaki bunyi dari dua besi penyokong yang tumbang dari tiang besi utama,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu laluan pejalan kaki di bahagian kiri di tepi jambatan itu dari arah Kinabatangan diisytiharkan sebagai tidak selamat dan ditutup.

BHP berkata pemeriksaan di bahagian bawah jambatan mendapati tiada struktur binaan berada dalam keadaan tidak stabil, terutama di bahagian jalan.

“Berdasarkan pemerhatian dua hari, lain-lain komponen utama jambatan itu seperti ‘main steel girder’, ‘floor beam stringer and bracing’, ‘bridge portal struts and bracing’, ‘vertical frame’, ‘top chord’, serta sambungan-sambungan pelbagai komponen utama; semuanya masih utuh,” tambahnya.

Menurut kenyataan itu pada bahagian kiri laluan tepi yang ditutup, pihak kontraktor memasang papan tanda bagi mengingatkan pengguna jalanraya supaya memperlahankan kenderaan untuk keselamatan pejalan kaki yang perlu melintas jalan untuk ke laluan di sebelah kanan jalan berkenaan.

“Ketua kampung di kawasan itu juga dimaklumkan mengenai perkara berkenaan bagi menangani sebarang isu berkaitan keselamatan yang relevan dengan penduduk kampung, terutama pengguna sungai,” kata kenyataan itu.

Di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, jambatan yang dibuka sekitar tahun 1970an itu akan digantikan dengan jambatan konkrit.

— BERNAMA