Pilih Bahasa

Jambatan Tawau – Pulau Sebatik bukan sesuatu yang mustahil: Abd Muis

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pembinaan jambatan dari Tawau ke Pulau Sebatik tidak mustahil untuk diwujudkan pada masa akan datang.

Pembantu Menteri Infrastuktur Sabah, Datuk Abd Muis Picho berkata impian itu akan berjaya direalisasikan jika Pulau Sebatik mampu memantapkan ekonomi ke tahap yang lebih cemerlang.

Muis (lima dari kiri) menerima cendera kenangan daripada Timbalan Pengerusi Besar Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Datuk Maisuri Besri (empat dari kiri). Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Tak mustahil untuk kita wujudkan jambatan menghubungkan Tawau dan Pulau Sebatik. Jika pada masa itu pulau berkenaan mampu memberi pulangan ekonomi yang lumayan, kita akan minta kepada kerajaan untuk bina jambatan itu nanti,’’katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Projek Penghadang Gelombang (Wave Screen) Untuk Terminal Feri Tawau di Dataran Batu-Batu, Persiaran Traulsen, Jalan Persisiran, di sini tadi.

Beliau juga kini sedang berusaha untuk menarik kedatangan lebih ramai pelancong dengan mewujudkan feri pelancong dari Tawau ke pulau-pulau yang terdapat di Semporna.

Ujarnya, cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan feri pelancong itu telah dibawa sebanyak dua kali dalam mesyuarat di peringkat negeri dan kini hanya menunggu kelulusan permit daripada jabatan berkaitan.

“Pelancong menggunakan Lapangan Terbang Tawau untuk ke Semporna jadi sudah tiba masa kita untuk membawa mereka ke sini (Tawau) dahulu sebelum ke sana (Semporna) kerana di sini pun kita ada produk pelancongan yang boleh diketengahkan.

“Kita ada Pasar Tanjong yang besar dan di dalamnya ada pelbagai produk keluaran penduduk Tawau. Sebab itu saya telah cadangkan supaya kita buat perkhidmatan feri pelancong dari Tawau terus ke pulau di Semporna,’’katanya.

Terdahulu dalam majlis itu, beliau melihat kewujudan penghadang gelombang di Terminal Feri Tawau akan menjadi satu lagi lokasi riadah hujung minggu penduduk tempatan mahupun pengunjung luar.

“Saya ada bincang dengan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Alijus Sipil untuk meminta jurutera bertauliah membina jambatan penyambung ke penghadang itu bagi membolehkan penggemar memancing dan orang ramai beriadah di kawasan berkenaan,”katanya. – SabahNewsToday