Pilih Bahasa

Jana rezeki Cod makanan dalam PKPB

KOTA KINABALU: Kreativiti dalam menambah sumber pendapatan keluarga terutama bagi mereka yang terjejas di musim perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19 adalah satu usaha yang dilakukan oleh kebanyakan peniaga dalam talian.

Dengan menggunakan platform media sosial dan pembayaran tunai semasa penghantaran (Cod),  pengusaha makanan Rahima Dullah Suing yang juga merupakan seorang ahli perniagaan, mengambil langkah bijak dengan menjual coto makasar buatannya.

Rahima menghantar sendiri coto makasar kepada pelanggan yang membuat pesanan. – Gambar SNT/Ihsan LD

“Apabila berdepan dugaan sebegini, tentunya kita perlu memikirkan sesuatu untuk meneruskan sumber pencarian kepada keluarga.

“Saya menjana pendapatan dengan membuat perkhidmatan jualan makanan berupa coto makasar ayam, coto makasar daging, coto bakso dan coto campur,” katanya.

Rahimah antara peniaga cod makanan atau peniaga dalam talian yang menjalankan dalam semasa perintah kawalan pergerakan.

Antara pelanggan yang membeli makanan secara Cod. – Gambar SNT/Ihsan LD

Menurut wanita berusia 35 tahun itu, menu coto adalah menu yang lazat dan mengenyangkan yang disaji bersama pilihan nasi impit atau mihun.

“Saya mengambil tempahan dari pelanggan melalui media sosial Facebook dan ada juga pelanggan atau kenalan yang terus menghantar pesanan kepada saya melalui aplikasi Whatapps.

“Bagi saya kunci utama untuk kita meneruskan kehidupan adalah usaha gigih dan berfikir secara kreatif termasuklah dalam usaha mencari rezeki walaupun kita berada dalam fasa yang sukar ini,” katanya.

Jelas Rahimah lagi, penyedia dan pengendali makanan wajar mematuhi aspek kebersihan dan kesihatan bagi memastikan produk makanan yang dihasilkan berada dalam keadaan yang baik dan selamat untuk dinikmati oleh pelanggan.

“Aspek utama yang saya titik beratkan adalah keselamatan pengguna dan kualiti makanan yang bersih, meliputi dari bahan yang saya gunakan, saya perolehi daripada sumber yang segar dan halal yang diyakini.

“Saya juga amat peka terhadap mutu pembungkusan makanan kerana saya ingin memastikan juadah yang diterima oleh pelanggan saya adalah yang berkualiti.

“Kebiasaannya menyediakan makanan yang dipesan pelanggan dengan hanya dibantu suami kerana saya menghadkan jumlah tempahan, kerana saya ingin menjaga kualiti penghasilan coto makasar saya,” katanya lagi.

Beliau turut mengajak wanita dan suri rumah untuk tampil menggunakan kreativiti dalam membantu suami dan keluarga menambah pendapatan bagi kegunaan sekeluarga. – SabahNewsToday