Pilih Bahasa

Janda kelar tangan bekas kekasih

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Kecewa ditinggalkan, seorang wanita bertindak menyerang dan mengelar tangan bekas kekasihnya dengan pisau kertas di sebuah kondominium di Sembulan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 45 tahun mengalami kecederaan luka dan terpaksa menerima lapan jahitan.

Tangan mangsa yang memerlukan lapan jahitan selepas dikelar oleh bekas kekasih. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Difahamkan, suspek terbabit dikatakan seorang janda warga Indonesia dan mempunyai anak lelaki berusia tujuh tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata siasatan mendapati kejadian berlaku apabila wanita yang juga bekas teman wanita mangsa pergi untuk menemui mangsa di kondominium bagi membincangkan berkenaan hubungan antara mereka.

“Ketika berbincang berlaku pertengkaran antara suspek dengan mangsa hingga suspek mengeluarkan sebilah pisau sebelum mengelar tangan mangsa.

“Motif kejadian dipercayai adalah disebabkan rasa cemburu suspek selepas perhubungan mereka putus,” katanya di sini, hari ini.

George berkata polis masih mengesan suspek berusia 30-an.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata. -SabahNewsToday