Pilih Bahasa

Jangan ada ketirisan dalam kutipan cukai – Mohd Shafie

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Para Ketua-ketua jabatan, agensi dan badan berkanun serta pegawai kanan yang menghadiri majlis Sepetang Bersama Ketua Menteri bergambar kenangan bersama Mohd Shafie (duduk, tengah). – Gambar SNT / Ehsan Jabatan Penerangan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan jabatan, agensi dan badan berkanun di negeri ini menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerjasama itu penting untuk membolehkan bukan hanya pemungutan hasil dapat ditingkatkan tetapi juga dalam melihat sistem pendekatan yang digunakan berkesan atau sebaliknya.

“Sekiranya tidak ada keberkesanan kemungkinan perlu dilihat macam mana untuk memperbaiki (sistem pendekatran) itu.

Sabin (kiri) dan Mohd Shafie semasa sidang media selepas menghadiri majlis Sepetang Bersama Ketua Menteri di Kota Kinabalu. – Gambar SNT / Ehsan Jabatan Penerangan

“Yang penting bagi kita ialah untuk memastikan supaya hasil daripada cukai dapat ditingkatkan. Selain itu jangan pula ada ketirisan dalam cukai yang dikenakan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Sepetang Bersama Ketua Menteri anjuran LHDN di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Hashim Paijan; Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah dan Pengarah LHDN Sabah, Datuk Hajam Lajah Alam.

Menurut Mohd Shafie masyarakat perlu memahami bahawa kutipan cukai oleh LHDN akan digunakan untuk menyediakan keperluan pelbagai kemudahan asas di kawasan-kawasan khususnya di luar bandar di negeri ini.

Oleh itu beliau menambah peningkatkan hasil kutipan cukai daripada agensi kerajaan dan swasta, perniagaan serta individu akan memastikan ia dapat digunakan dengan betul demi kepentingan rakyat.

“Kalau kemudahan itu dapat kita tingkatkan sudah pasti ia akan memberikan keselesaan kepada keadaan perniagaan dalam kalangan peniaga itu sendiri.

“Apabila hasil cukai kita pindahkan (untuk membiayai pembinaan prasarana) akan membolehkan kita tadbir mengurus negari dengan lebih baik.

“Maka itu kita perlu sokongan yang baik (daripada semua pembayar cukai) untuk menjayakan agenda pengutipan yang berkesan dan efisien,” katanya. – SabahNewsToday