Pilih Bahasa

Jangan ambil mudah kelonggaran dilaksana kerajaan: Penerangan Bersatu Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menyokong pendekatan kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19 serta usaha menangani krisis ekonomi negara sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Hari Pekerja pada 1 Mei (semalam).

Ketua Penerangannya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata strategi itu merupakan langkah bijak dan penting kerana ia mampu memberi keseimbangan kepada negara untuk bangkit semula setelah pelbagai sektor dan orang awam terjejas ekoran penularan Covid-19.

Khairul Firdaus Akbar Khan. Gambar Fail SNT

“Hal ini juga selaras dengan keperluan negara yang perlu mengekalkan kelangsungan ekonomi agar terus berada pada tahap yang baik dan memberangsangkan.

“Meskipun kita diberi kelonggaran untuk bergerak dan boleh melakukan aktiviti riadah, namun harus kita ingat bahawa kita masih mempunyai tanggungjawab untuk membantu negara dan petugas barisan hadapan yang siang malam bekerja keras bagi melawan virus ini.

“Jangan ambil mudah dan merasakan bahawa kita sudah bebas dan tidak perlu mengamalkan amalan penjagaan kebersihan diri serta penjarakan sosial dalam aktiviti seharian, kerana kita khuatir jika rakyat mulai leka, tidak mustahil akan berlaku gelombang baharu yang lebih dahsyat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata rakyat perlu terus bersabar dan memberi kerjasama dengan mengamalkan disiplin norma baharu sebagaimana yang disarankan oleh kerajaan bagi memastikan usaha bagi membendung wabak Covid-19 daripada berterusan adalah penting.

Dalam pada itu, Firdaus juga memuji usaha berterusan pihak kerajaan yang dilihat sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dan usaha pembangunan adalah mencakupi aspek pelbagai secara keseluruhannya.

Jelasnya, rakyat seharusnya sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan oleh Tuhan kepada negara ini dan keamanan serta kelangsungan ekonomi yang mampu dipertahankan sehingga kini. – SabahNewsToday