Pilih Bahasa

Jangan benarkan ‘Pegawai Kesihatan’ masuk tanpa guna kenderaan kerajaan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Dr. G Navindran (kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada wakil Majlis Perbandaran Tawau (MPT). – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pemilik rumah berhak untuk tidak membenarkan mana-mana pegawai kerajaan masuk menjalankan pemeriksaan jentik-jentik di dalam rumah sekiranya mereka tidak menggunakan kenderaan kerajaan.

Pegawai Kesihatan Tawau, Dr. G Navindran berkata orang awam dinasihati agar mengambil langkah waspada bagi mengelak ditipu individu yang menyamar sebagai kakitangan kerajaan berjawatan pegawai kesihatan seperti yang berlaku kelmarin dan tular di media sosial. 

Beliau berkata selain kenderaan yang digunakan, orang awam juga boleh mengesan individu berkenaan melalui kad perakuan yang ditandatangani oleh beliau sendiri.

“Ketika penjawat awam datang menjalankan pemeriksaan, sila minta kad yang disediakan Pejabat Kesihatan Tawau dan kebiasaanya mereka bergerak secara berkumpulan (dua atau tiga orang). 

“Kad berkenaan itu perlulah ditandatangani (di bahagian belakang) oleh saya sendiri serta menggunakan kenderaan yang ada lambang kerajaan dan dapatkan nombor pendaftaran kenderaan. 

“Jika mahu lebih terperinci minta kad pengenalan mereka supaya apabila terjadi sesuatu perkara individu berkenaan mudah untuk dikesan,” katanya ketika ditemui dalam Program Kick Denggi Peringkat Perbandaran Tawau di Dewan Masyarakat Tawau di sini, hari ini.

Contoh kad perakuan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah yang sah. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Jelas beliau orang awam juga boleh meneliti cara pemakaian pegawai kesihatan ketika menjalankan pemeriksaan yang sudah ditetapkan Jabatan Kesihatan daerah ini.

“Setiap hari kami jalankan pemeriksaan kecuali hari Ahad mengikut jadual yang disediakan.

“Berkaitan seragam biru yang digunakan suspek (pada hari kejadian) kakitangan yang menjalankan tugas perlulah menggunakan seluar biru dan baju putih dengan memakai tanda nama, kasut hitam, bertali leher serta memiliki kad perakuan,” katanya.

Beliau berkata kejadian berkenaan bukan pertama kali berlaku dan pemilik rumah turut dinasihat supaya memantau mereka ketika sedang membuat pemeriksaan bagi mengelak kejadian seperti kecurian berlaku.

“Dalam kes yang tular itu, kawasan yang diperiksa oleh individu terbabit bukanlah kawasan yang ditetapkan oleh Pejabat Kesihatan Tawau pada masa itu.

Dr. G Navindran. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Kami juga sudah memberitahu tuan rumah (mangsa) untuk hadir pada bila-bila masa ke pejabat kami bagi mengecam semua kakitangan seramai 40 orang jika ada yang terbabit,” jelasnya.

Terdahulu Sabah News Today melaporkan seorang wanita kerugian kira-kira RM1,000 selepas disamun sekumpulan tiga penjenayah yang menyamar sebagai pegawai kesihatan, di Batu 6 Jalan Apas, kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 1 petang itu, mangsa yang bersendirian di rumah didatangi tiga lelaki berpakaian seragam berwarna biru dan mendakwa sebagai pegawai Jabatan Kesihatan Tawau.

Susulan kejadian itu pihak polis sedang memburu ketiga-tiga suspek terbabit untuk siasatan lanjut. – SabahNewsToday